loading...
Tengok ramai wanita berkerjaya sekarang berani berhenti kerja untuk jaga anak. Macam seronok je, rasa teringin juga berhenti kerja. Kalau aku berhenti kerja macam mana ya, takut-takut nanti menyesal pula bila dah tak kerja dan jadi suri rumah.”
Mungkin kata-kata sebegini sering kali membelenggu fikiran ibu-ibu yang mengimpikan untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian terhadap rumah tangga yang dibina, lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah dikurniakan anak.
Terdapat pelbagai perkara perlu difikirkan sebelum membuat keputusan berhenti kerja untuk jaga anak, terutamanya dari segi ekonomi keluarga. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bekerja dari rumah, ianya mungkin lebih merungsingkan fikiran. Apa tidaknya, sebelum ini anda pasti memiliki ribuan ringgit setiap bulan hasil daripada kerjaya anda. Namun, apabila kelak anda sudah tiada sumber pendapatan lagi, keadaan pasti berbeza dan tidak akan sama ketika anda pernah bekerja sebelum ini. Dari segi sosial pula, anda akan meninggalkan rakan-rakan sekerja untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga.
Bersediakah anda untuk melepaskan jawatan yang dipegang kini demi menghadapi cabaran menjadi seorang suri rumah sepenuh masa kelak?
berhenti kerja jaga anak
Persediaan dari segi mental, fizikal dan emosi perlu diberi perhatian sebelum anda mula bertindak untuk berhenti kerja. Ini kerana, walaupun anda hanya berada di rumah sepanjang hari, ia tidak bermakna anda tidak menghadapi tekanan sepertimana yang anda hadapi di tempat kerja. Istilah ‘goyang kaki’ juga tiada dalam kamus seorang suri rumah. Selain itu, wanita berkerjaya perlu bersedia untuk menghadapi kata-kata masyarakat sekeliling tentang keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah.
Bagi memastikan anda dapat membiasakan diri dengan gelaran seorang suri rumah kelak, persediaan mental, fizikal dan emosi yang kuat adalah sangat penting.
wanita bekerjaya
Sekiranya anda bertekad untuk meletak jawatan dan menjadi suri rumah, usah ragu dengan keputusan anda. Walaupun anda memegang jawatan yang tinggi dalam kerjaya anda, berikut merupakan 3 sebab anda tidak perlu menyesal untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
1. Allah Yang Menggerakkan Hati
Setiap sesuatu yang berlaku di dunia ini adalah dengan izin Allah. Allah yang menggerakkan hati anda untuk menerima jawatan yang ditawarkan sebelum ini sebagai wanita berkerjaya. Allah jua yang menggerakkan hati anda untuk melepaskan jawatan tersebut demi sebuah keluarga yang anda cintai.
Usah khuatir dengan rezeki yang akan Allah kurniakan kelak apabila anda telah menjadi seorang suri rumah. Rezeki bukanlah dilihat pada wang ringgit semata-mata. Kebahagiaan bersama keluarga juga merupakan rezeki yang sangat bernilai daripada Allah.
Letakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah, nescaya anda akan berasa tenang menghadapi hari-hari mendatang.
wanita bekerjaya
2. Anggap Ia Peluang Memperkasakan Ibadah
Sewaktu bekerja, mungkin pelbagai persiapan menuju akhirat sering terpinggir dek kesibukan dunia yang kita lalui. Percayalah, dengan menjadi seorang suri rumah kelak, anda akan punya lebih waktu untuk beribadah kepada Allah.
Perkasakan diri dan luangkan masa untuk lebih dekat dengan Allah. Dengan solat, membaca Al-Quran, berzikir, berselawat, memperbanyakkan doa, mendengar nasyid, dan menonton ceramah agama di rumah, In Sha Allah anda akan berasa lebih tenang berbanding sewaktu anda bekerja dahulu.
3. Dapat Berkhidmat Untuk Keluarga
Jika sebelum ini, anda sebagai wanita berkerjaya mungkin tidak pernah terfikir untuk berhenti kerja kerana ingin memberikan khidmat menerusi bidang kerjaya anda. Tetapi kini, tiba masanya untuk anda ‘move on’ daripada alam pekerjaan tersebut demi berkhidmat untuk keluarga tersayang.
Lakukan yang terbaik dalam segala urusan dan tugasan harian di rumah. Gunakan kemahiran serta ilmu pengetahuan yang anda miliki untuk mendidik dan mengasuh anak-anak di rumah agar mereka menjadi anak yang soleh dan solehah kelak.
Apabila semua perkara dalam keadaan teratur dan anda dapat melihat perkembangan anak dari semasa ke semasa hasil didikan anda di rumah, anda pasti dapat merasakan bahawa usaha anda itu sangat berbaloi. Anda juga tidak akan pernah menyesal berhenti kerja untuk menjaga anak dan menguruskan keluarga.
Ada Hikmah Di Sebalik Sesuatu Yang Berlaku
Kepada wanita berkerjaya yang berjaya memberikan yang terbaik buat keluarga tercinta, tahniah diucapkan! Anda wanita hebat! Bukan mudah menjadi seorang pekerja serta seorang isteri dan ibu dalam satu-satu masa.
Buat ibu-ibu yang telah atau bakal meninggalkan alam pekerjaan dan menjadi suri rumah sepenuh masa tidak lama lagi, semoga urusan anda dipermudahkan. Kunci paling utama adalah keyakinan terhadap Allah.
Menjadi wanita berkerjaya atau suri rumah, kedua-duanya punya alasan tersendiri dalam memilih jalan hidup masing-masing. Percayalah bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati perjalanan kita semua agar kita bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat. from Kaki Share http://ift.tt/2ea6ZXj via IFTTT
0 comments:
Post a Comment