SBDJ Siri 122: Mengaku Keturunan Hang Jebat

loading...
Bunyi kicauan burung punai tanah cukup rancak, angin yang bertiup tenang memberikan kesegaran pada saya. Sesekali terdengar sayup-sayup bunyi kokok ayam hutan di hujung kebun.

Toyol jadi-jadian

"Kamu sebenarnya, bukan anak jati Pasir Besar, Gemas Negeri Sembilan. Kamu dah berbohong pada aku Khoja," sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya. Datuk renung batang hidung Khoja Lisut.

Saya melihat muka Khoja Lisut pucat, dia resah tidak menentu. Sekejap renung lantai buluh, sekejap renung ke arah saya dan pepohon di luar. Apa yang dilakukan semuanya tidak kena.

"Aku maafkan, tapi hari ini kamu mesti berterus terang, jangan jadikan diri kamu manusia munafik," sambung Datuk.

Hati Khoja Lisut lega, saya lihat mukanya merah kembali. Sikap tidak tentu arahnya terhenti.

Saya kira, sekarang dia merasa bahagia dan seronok sekali. Datuk sudah memaafkan perbuatannya yang terlanjur.

"Sekarang berceritalah kamu dengan jujur tentang diri kamu dari A sampai Z," Datuk luahkan permintaan.

"Baik," sahut Khoja Lisut.

"Bagus," balas Datuk.

"Tapi saya terpaksa duduk atas pucuk pisang, kendi berisi air mesti diletakkan di hujung lutut sebelah kanan," Khoja Lisut mengajukan syarat.

Tentu saja syarat itu dipenuhi oleh Datuk. Saya pun diarahkan oleh Datuk untuk membuat segala-galanya.

Sebaik saja Khoja Lisut duduk atas pucuk pisang, dia membuka bajunya. Lagi sekali saya terkejut melihat kulitnya yang bersisik macam sisik tenggiling, terutama di bahagian rusuk dan belakang.

Khoja Lisut segera menarik kulitnya yang bersisik itu lalu diletakkan atas pucuk pisang.

Semua gerak-gerinya itu diperhatikan oleh Datuk dengan penuh teliti. Saya lihat Khoja Lisut bergerak atas pucuk pisang macam tenggiling (merangkak). Pucuk pisang habis hancur. Kelakuan aneh itu berlangsung kira-kira lima minit.

Sambil bergerak itu, Khoja Lisut melepaskan nafasnya macam bunyi nafas binatang yang merayap. Lidahnya terjelir menjilat-jilat air atas pucuk pisang. Kelopak matanya bergerak-gerak macam kelopak mata ular.

"Inilah yang saya tanggung selama ini, benda pelik ini datang dalam waktu begini, waktu matahari bertambah tinggi," tutur Khoja Lisut.

Bila dia pulih dari keadaan ganjilnya. Dia duduk bersila atas pucuk pisang yang sudah koyak rabak itu. Saya kira waktu itu lebih kurang pukul sepuluh pagi. Khoja Lisut menyarungkan kembali baju ke tubuhnya.

NORMAL

Keadaan diri Khoja Lisut kembali normal. Tidak terdapat tanda-tanda yang sebentar tadi dirinya berada dalam keadaan tidak normal.

Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Dua tiga kali dia menelan air liur sambil memandang ke arah Datuk. Khoja Lisut pun memperkemaskan duduk dan silanya.

Dia pun berkisah tentang riwayat dirinya:

Dia adalah pendekar terkenal di Pulau Rupat yang terletak di perairan kepulauan Riau. Dari Pulau Rupat hingga ke Tanjung Pinang dia buka gelanggang silat, jumlah anak muridnya bukan kepalang.

Kehandalannya diakui, ramai pendekar silat dari Bukit Tinggi, Teluk Batung Bangka, Kerinci dan Jambi ditewaskannya dalam gelanggang. Ilmu persilatannya cukup tinggi, ilmu akhirat juga tidak kurang dalam dadanya.

Tubuhnya tidak mampan peluru, tidak mampan senjata tajam. Tahan dibakar dan direndam.

Sebulan sekali dia datang ke Johor, Negeri Sembilan dan Melaka mengembangkan ilmu silatnya.

Dia datang ke negeri-negeri di pantai barat Tanah Melayu melalui pantai. Dia menggunakan bot nelayan untuk datang ke tempat tersebut.

Dia pernah diuji dengan tembakan senapang kampung berlaras dua. Bertalu-talu tembakan dilepaskan ke tubuhnya. Semua tidak mendatangkan apa-apa kesan. Peristiwa itu berlaku ketika dia berada di Serkam, Melaka.

Ujian ke dua berlaku di Air Mawang Johol, Negeri Sembilan. Dia diserang dengan sepuluh lembing dari sepuluh anak muda, kemudian diikuti dengan tikaman keris dan tetakan parang panjang bertalu-talu.

Walaupun dia dapat mengesan dan kenal dengan orang-orang yang menyerang, dia tetap bersikap mengalah. Masih memaafkan musuhnya, tetap bersikap merendahkan diri.

Kerana sikapnya, bukan sikap ayam jaguh orang yang memusuhinya bertukar menjadi rakannya yang paling karib. Bersedia susah dan senang bersamanya.

Dan Khoja Lisut secara perlahan-lahan mengembangkan pengaruh dalam bidang persilatan.

Walaupun dia ditawarkan tanah, rumah dan isteri oleh para pengikut-pengikutnya, dia tetap menolak. Dia tidak bersedia menetap di bumi Tanah Melayu. Dia merasa lebih seronok dan bahagia berulang-alik dari Pulau Rupat ke Melaka atau Negeri Sembilan.

"Kamu memang hebat," Datuk segera memotong cakapnya.

Khoja Lisut terperanjat, mungkin dia merasa kurang seronok bila cakapnya di pintas oleh Datuk dengan cara yang mengejutkan.

Tetapi, Khoja Lisut tidak memperlihatkan kemarahannya. Dia menghadiahkan senyuman pada Datuk dan saya.

"Semua orang kata saya gagah dan kuat, tak ada seorang pun yang dapat melawan saya. Akibatnya saya lupa diri dan menanggung sakit yang tak diketahui puncanya, tak ada ubat dan penawarnya," sambung Khoja Lisut.

Dia seakan-akan menyesali dengan apa yang terjadi atas dirinya.

Datuk menggigit bibir sambil merenung ke arah pepokok pisang yang subur di kawasan sekitar pondok. Khoja Lisut terus mencabut kulit tubuhnya yang bersisik. Diaturkannya atas daun pisang.

"Pakcik kena sumpah?" saya bertanya.

Pertanyaan saya tidak dijawab.

"Barangkali kamu ada membuat sesuatu pada orang yang tidak melakukan kesalahan atas diri kamu," susul Datuk.

Khoja Lisut menegakkan badannya. Dia menggeliat. Gerak tubuhnya tidak ubah macam tenggiling yang bergerak atas permukaan bumi. Sesekali dia mengeluarkan lidahnya untuk membasahkan kelopak bibirnya.

"Kira-kiranya begitulah, semuanya terjadi kerana saya tidak dapat mengawal rasa marah saya," dengan wajah yang tenang dan selamba Khoja Lisut meluahkan kata-kata.

"Kamu mencari aku kerana nak berikhtiar, nak menghilangkan penyakit yang kamu tanggung," tanya Datuk lagi.

Khoja Lisut tarik nafas dalam-dalam. Lagi sekali dia menelan air liur sambil meraba-raba hujung dagunya dengan telapak tangan kirinya.

"Memang begitulah hajat saya."

"Dari siapa kamu tahu tentang aku Khoja."

"Beberapa tahun dulu, awak pernah datang ke daerah Batu Pahat, awak pernah menolong menyelesaikan beberapa masalah di sana. Dari orang-orang yang terbabit itulah saya tahu diri awak," jelas Khoja Lisut.

"Itu sebabnya awak cari aku, tapi kenapa datang waktu malam," soal Datuk lagi.

PONDOK

Kali ini, dua tiga kali Khoja Lisut meraba-raba lehernya dengan tangan kanan. Dia mengisut perlahan-lahan ke pintu pondok.

Duduk termangu di situ buat beberapa saat. Dia merenung dedaun pisang, merenung tanah dan rerumput di kaki tangga pondok. Kemudian kembali ke tempat asal dia duduk tadi.

"Kerana keadaan begini, saya terpaksa berjalan malam mencari rumah awak. Kalau saya datang siang mungkin timbul macam-macam cerita," jelas Khoja Lisut.

Macam mana dari Pasir Besar ke mari? Awak berjalan waktu malam juga, macam tak yakin saya dengan cerita awak ni,” sanggah Datuk sambil merenung muka Khoja Lisut.

"Saya guru silat, anak murid saya ramai, merekalah yang menguruskan saya ke mari. Awak tahu, malam saya sampai ke rumah awak tu, saya dihantar oleh ayah kepada anak murid saya yang bekerja di Melaka."

"Siapa nama ayah anak murid awak tu, Khoja."

"Tak payahlah saya beritahu. Apa yang peliknya walaupun anak murid saya yang di Melaka tu berasal dari kampung ini tetapi, dia tak tahu langsung tentang kebolehan awak," cukup bersemangat Khoja Lisut bercerita.

"Sudahlah tu, sekarang saya nak tahu apa yang telah kamu lakukan pada orang yang tidak bersalah," Datuk seperti mendesak.

Dan ternyata kali ini, Khoja Lisut tidak dapat berdalih itu ini lagi.

"Kalau saya ceritakan keburukan saya, apakah kisah tu tak diceritakan pada orang lain," cukup pintar Khoja Lisut menjerat.

"Tidak," balas Datuk.

"Bila sudah cerita keburukan saya, apakah awak bersedia menolong saya."

"Menolong orang lain dalam kesusahan, memang kerja saya. Membahagiakan orang adalah salah satu amal jariah yang baik dan memang digalakkan umat Islam melakukannya," begitu bersemangat Datuk bersuara.

Dan Khoja Lisut pun meriwayatkan sebab-sebab dia jalan merangkak macam tenggiling.

Menurut Khoja Lisut, orang-orang kampung menyebutnya sebagai terkena kenan tenggiling.

Begini ceritanya:

Dia telah diajak oleh anak muridnya ke Asuhan di daerah Batu Bara, di Sumatera. Anak muridnya itu telah memperkenalkan dirinya pada orang-orang kampung tentang kehebatan gurunya.

Beberapa orang pendekar setempat telah menguji Khoja Lisut, ternyata tiada seorang pun yang dapat menewaskannya.

Cerita Khoja Lisut tersebar ke seluruh pelosok kampung. Ramai yang datang menemuinya. Mereka mempelawa Khoja Lisut membuka gelanggang untuk anak-anak muda setempat belajar ilmu mempertahankan diri.

Kerana sudah ramai yang mendesak, akhirnya Khoja Lisut berjanji pada penduduk akan datang pada minggu depan iaitu pada hari Jumaat untuk membuka gelanggang.

Pada hari yang dijanjikan itu, Khoja Lisut bersama dua orang kanannya yang tidak kurang handalnya pun sampai di Asahan.

Bila semua anak muda berkumpul, Khoja Lisut pun memulakan upacara membuka gelanggang dengan jamuan makan pulut kuning yang disediakan oleh pihak yang mengundangnya.

Setelah itu, Khoja Lisut meriwayatkan tentang ilmu persilatan yang diwarisinya itu.

Khoja Lisut menyatakan pada penduduk setempat bahawa ilmu silat yang ada pada dirinya itu adalah silat yang diamalkan oleh Hang Jebat yang berdarah panas.

Khoja Lisut menekankan juga Hang Jebat adalah anak jati Pulau Rupat dan berhijrah ke Melaka dalam usia sepuluh tahun lebih.

Hang Jebat ke Melaka kerana mengikut ayahnya yang menjadi pedagang cengkih dan lada. Di Melaka Hang Jebat berkenalan dengan Hang Tuah serta beberapa orang lagi rakannya.

Semasa menjadi hulubalang Melaka, Hang Jebat sering pulang ke Pulau Rupat dan menyebarkan ilmu silat kepada penduduk setempat.

Salah seorang dari orang yang menuntut ilmu persilatan itu ialah moyang Khoja Lisut yang secara kebetulan mempunyai pertalian keluarga dengan Hang Jebat.

Cerita yang dikatakan oleh Khoja Lisut membuat orang-orang setempat kian kagum pada dirinya. Lewat tengah hari barulah Khoja Lisut mengajar langkah pada anak-anak muda di situ.

Lebih kurang baru belajar mengatur gerak dan petua terdengar bunyi tabuh di masjid dipalu orang. Khoja Lisut tidak ambil kisah tentang itu dia terus mengajar silat.

Beberapa orang anak muda mula bergerak meninggalkan tempat belajar untuk menuju ke masjid.

"Pantang saya, kalau baru belajar mahu meninggalkan tempat," sergah Khoja Lisut terhadap anak-anak muda yang mula mahu meninggalkan gelanggang.

Anak-anak muda itu membatalkan niat mereka mahu pergi ke masjid. Kembali ke tempat asal.

"Kiai lalu," terdengar suara dari beberapa orang nak muda yang duduk di bawah pohon ketapang, tidak jauh dari tempat Khoja Lisut memberi penerangan tentang ilmu persilatannya.

Biji mata anak-anak muda yang bersuara itu tertumpu ke arah seorang tua yang kurus tinggi, membawa tongkat, memakai songkok tinggi, berbaju melayu potongan Johor.

Berkain samping warna putih sama dengan warna seluar dan baju yang dipakainya.

DUDUK

Orang tua yang berbadan kurus dan tinggi itu datang ke arah anak muda yang duduk di bawah pokok ketapang.

Anak-anak muda tersebut cuba melarikan diri, tetapi hasrat itu tidak terlaksana kerana orang tua yang mereka sebut Kiai itu menunjukkan wajah persahabatan.

"Apa kamu semua buat di sini?" tanya Kiai.

"Tengok orang belajar silat."

"Apa kamu semua tak tahu, waktu Jumaat dah masuk."

"Tahu pak Kiai."

"Kalau sudah tahu kenapa duduk di sini, lagi pun kamu semua tak belajar silat, sekarang pergi balik dan siap, kemudian datang masjid," perintah orang tua yang berbadan kurus tinggi itu.

"Macam mana yang belajar tu Pak Kiai," salah seorang dari anak muda di situ melahirkan protes.

Pak Kiai segera menoleh ke arah sekumpulan anak muda yang sedang asyik melihat Khoja Lisut bercakap sambil mengatur langkah silat.

"Itu biar Pak Kiai uruskan."

Orang tua yang kurus tinggi itu pun segera melangkah ke arah kumpulan anak muda yang sedang mengelilingi Khoja Lisut.

Dua orang pengawal peribadi Khoja Lisut melihat dengan hati-hati langkah Pak Kiai.

"Kenapa berkumpul di sini, seruan untuk sembahyang Jumaat dah dihebahkan, apa kamu semua tak dengar, jangan jadikan diri kamu isi neraka," cukup lantang suara Pak Kiai.

Matanya terus menatap wajah anak-anak muda yang agak terkejut dan tersipu-sipu melihat kedatangan Pak Kiai yang tidak diduga itu.

"Kami belajar untuk menyelamatkan diri," sahut salah seorang dari anak muda yang duduk tidak jauh dari Khoja Lisut.

"Kalau ia pun, kamu semua mahu belajar ilmu mempertahankan diri, janganlah sampai mengabaikan perintah Allah," lanjut Pak Kiai sambil menekankan tongkatnya ke dada bumi.

Ternyata lelaki tua yang sudah menjangkau usia lebih dari lapan puluh tahun itu sudah kepenatan.

Dia menarik nafas sambil mengumpulkan tenaga untuk meneruskan kata-kata selanjutnya terhadap anak-anak yang masih duduk terlonggok di depannya.

"Kamu semua balik dan kemudian datang ke masjid," Pak Kiai mengeluarkan arahan.

Dua orang pengawal peribadi Khoja Lisut mula mendekati Pak Kiai. Bersedia untuk melakukan apa saja kalau orang tua itu banyak cakap dan banyak perintah.

"Sembahyanglah, Jumaat hanya datang seminggu sekali dalam diri kita, kalau kita persia-siakan Jumaat yang datang, kita rugi besar, Jumaat hari ini, tidak akan ada dalam hari Jumaat yang akan datang," itu yang dituturkan oleh Pak Kiai pada kedua orang pengawal peribadi Khoja Lisut.

Dari jauh, Khoja Lisut memberikan isyarat agar dua orang pengawal peribadinya menjauhkan diri dari Pak Kiai. Perintah Khoja Lisut segera dipatuhi.

"Kami baru belajar Pak Kiai, pantang tengah belajar berhenti, Pak Kiai," terdengar suara dari kumpulan anak muda yang mengelilingi Khoja Lisut.

Pak Kiai yang kepenatan terus mengesat peluh di dahi dengan sapu tangan. Panas tengah hari yang terik itu membuat Pak Kiai cepat terasa penat dan letih.

"Siapa guru kamu," tanya Pak Kiai.

"Saya."

Dengan serta merta Khoja Lisut menerpa ke arah Pak Kiai, bagaikan helang menyambar anak ayam.

Dia berdiri di depan Pak Kiai. Direnungnya muka Pak Kiai yang sudah berkedut seribu itu.

Sengaja disiku-sikunya bahagian kiri tubuh Pak Kiai. Orang tua itu tetap bersikap tenang. Tidak memperlihatkan sikap marah.

Masih menghulurkan tangan untuk bersalam. Khoja Lisut sambut huluran tangan itu. Bila telapak tangan Pak Kiai berada dalam genggamannya, cepat-cepat dia memulas tangan Pak Kiai.

Ternyata kesakitan itu tidak datang pada diri Pak Kiai. Dia masih tersenyum. Khoja Lisut melepaskan telapak tangan Pak Kiai.

"Suruh anak-anak murid kamu bersurai, tunaikan perintah Allah dulu, lepas itu teruskan apa yang mahu kamu ajarkan pada mereka, sesungguhnya niat kamu baik, tapi cara menyampaikannya agak terpesong, tuan guru," begitulah kata-kata yang diluahkan Pak Kiai.

Khoja Lisut tersenyum dan terus menyinggung perut Pak Kiai dengan siku kirinya. Pak Kiai membongkok menahan kesakitan.

"Ajaklah anak-anak murid kamu ke jalan yang baik, ajaklah mereka ke rumah Allah. Ajaklah mereka sembahyang Jumaat, masa masih ada lagi," tutur Pak Kiai bila rasa sakit di perutnya hilang.

"Itu urusan aku, bukan urusan kamu orang tua."

"Tapi, apa yang aku cakapkan tadi, adalah urusan agama Islam yang menyuruh saling mengingati antara sama lain untuk kebaikan.

"Diam," pekik Khoja Lisut.

Dia terus menolak Pak Kiai hingga jatuh terduduk di bumi.

Melihat kejadian itu, kumpulan pemuda yang pada mulanya mahu berguru dengan Khoja Lisut mula resah dan cemas.

Mereka kurang senang bila melihat Khoja Lisut bercakap keterlaluan terhadap orang tua yang mereka hormati.

Orang tua yang telah dinobatkan sebagai ulama kampung yang berkaliber.

Kumpulan pemuda kampung mula berpecah, satu puak yang selama ini memang kurang senang dengan sikap Pak Kiai yang selalu menegur perbuatan mereka yang dikira bertentangan dengan ajaran Islam, segera menyebelahi Khoja Lisut. Manakala satu pihak lagi berada di pihak Pak Kiai.

"Awak sudah keterlaluan buat orang tua," seorang anak muda menangkap tangan kanan Khoja Lisut yang mahu melepaskan penumbuk ke arah Pak Kiai yang baru bangun.

Belum pun pemuda itu berbuat apa-apa, kedua orang pengawal peribadi Khoja Lisut segera menangkap pemuda tersebut lalu diangkat dan dicampak ke dalam kubang berbau yang berdekatan.

Beberapa orang pemuda lain yang menyebelahi Pak Kiai segera menyerang dua orang pengawal peribadi Khoja Lisut.

Semua pemuda yang menyerang itu tewas di tangan pengawal peribadi Khoja Lisut yang berbadan tegap.

Kedua-dua pengawal peribadi itu adalah dari keturunan Batak yang berasal dari Tanah Karo, tetapi sudah lama menetap di Pulau Rupat.

"Kamu jangan masuk campur, biar aku selesaikan urusan ini dengan si tua nak mampus, ulama katak bawah tempurung," cukup nyaring suara Khoja Lisut.

Pengawal peribadinya segera ke tepi, begitu juga dengan pemuda yang menyebelahinya.

Khoja Lisut melepaskan pukulan silat yang bertubi-tubi ke arah Pak Kiai. Sebagai usaha mempertahankan dirinya, Pak Kiai menggunakan tongkatnya.

Masa Khoja Lisut melancarkan serangan bertalu-talu ke arahnya, Pak Kiai segera mengangkat tongkatnya separas dada. Entah macam mana hujung tongkat Pak Kiai terkena bahagian kemaluan Khoja Lisut.

JATUH

Buat beberapa saat Khoja Lisut jatuh ke bumi, berguling-guling sambil melolong menahan kesakitan. Semua orang yang berada di situ terpegun melihat pendekar silat tergolek-golek di bumi.

"Maaf, saya tak niat nak buat apa-apa," Pak kiai menerpa ke arah Khoja Lisut dan cuba mahu menolongnya.

Belum pun Pak Kiai memberikan bantuan, Khoja Lisut terus melepaskan tendangan yang kencang ke arah Pak Kiai.

Khoja Lisut terus bangun dan melancarkan serangan silat yang bertubi-tubi ke arah Pak Kiai.

Orang tua yang sememangnya tidak bertenaga itu hanya mengucapkan kata-kata: Allah Hu Akhbar setiap kali menerima buah silat dari Khoja Lisut.

Akhirnya, Pak Kiai tergolek lembik macam batang pisang. Tubuh Pak Kiai pun diangkat oleh para pemuda kampung yang bersimpati dengannya.

Ternyata tangan dan kaki Pak Kiai patah. Mulutnya keluar darah. Pakaiannya habis koyak rabak. Ketika tubuh Pak Kiai diusung ke rumahnya suara azan Jumaat berkumandang di udara.

Itulah sejarah hitam yang sengaja dicipta oleh Khoja Lisut dalam hidupnya. Dia berbuat demikian kerana merasakan dirinya tidak dapat dikalahkan oleh sesiapapun.

Dia berbangga kerana merasakan dalam dirinya mengalir darah Hang Jebat yang memang terkenal dengan perangai panas barannya.

"Setelah kejadian itu, saya batalkan ilmu silat, sehingga ke Tanah Melayu. Pada suatu hari saya terasa pening. Kalau tak silap saya hari Jumaat, sebulan sesudah saya membelasah Pak Kiai," Khoja Lisut menarik nafas.

"Apa dah jadi selepas pak cik pening?" soal saya.

"Pak Cik jatuh pitam, dua hari kemudian pak cik demam. Seluruh badan terasa sakit, kulit terasa panas macam terbakar, sepanjang malam pak cik mimpi buruk. Dua bulan pak cik duduk terbaring di rumah. Puas berubat tidak juga sembuh," Khoja Lisut berhenti bercerita.

Dia termenung panjang. Saya dan Datuk berpandangan.

"Kemudian kamu dapat sakit ini?" desak Datuk. Khoja Lisut gelengkan kepala.

"Habis macam mana kamu kena sakit ini?" datang lagi pertanyaan dari Datuk.

Khoja Lisut angkat tangan memberi isyarat, agar Datuk jangan mengemukakan sebarang pertanyaan.

Berilah kesempatan padanya untuk bercerita, jangan diganggu atau dipotong percakapannya.

Datuk anggukkan kepala, seolah-olah menyetujui dengan apa yang diminta oleh Khoja Lisut.

"Setiap malam saya mimpi yang menakutkan, akhirnya saya rasa kaki saya macam patah, begitu juga tangan, pinggang saya terasa lembik, tidak boleh bergerak.

"Terpaksa merayap bila mahu pergi ke sesuatu tempat, beberapa orang dukun dan bomoh yang cuba merawat saya jatuh pengsan, malah ada yang mati mengejut.

"Sudah bertahun-tahun saya menanggung sakit ini, orang kampung kata saya kena kenan buaya, kenan tenggiling dan biawak."

"Dah berubat dengan doktor."

"Sudah, macam-macam pil saya telan, rasanya sudah hancur tubuh saya kena cucuk, saya minta awak menolong saya," sambil merayu itu, air mata Khoja Lisut meleleh.

Dia meletakkan harapan pada Datuk agar sakit yang ditanggung dapat diusahakan agar cepat sembuh.

"Kamu membuat aniaya pada orang alim, inilah akibatnya," bisik Datuk ke telinga Khoja Lisut.

Wajah Khoja Lisut tetap tenang mendengar khabar itu.

"Kamu mesti minta maaf padanya secara terbuka," sambung Datuk lagi.

Kali ini wajah Khoja Lisut segera berubah. Dia terkejut. Cemas dan resah sendiri, renung kiri, renung kanan macam ada sesuatu yang amat ditakutinya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 122/284

BACA: SBDJ Siri 121: Tetamu Cacat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

from SentiasaPanas https://ift.tt/3805zpY via IFTTT
SHARE

Author

Hi, Its me Hafeez. A webdesigner, blogspot developer and UI/UX Designer. I am a certified Themeforest top Author and Front-End Developer. I'am business speaker, marketer, Blogger and Javascript Programmer.

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

loading...