Permaisuri Roxelane: Wanita Yang Membantu Kegemilangan Empayar Uthmaniyyah

loading...
Semasa era Sultan Suleiman al-Qanuni, Empayar Turki Uthmaniyyah berada di puncak kegemilangannya, meliputi Belgrade di Eropah hingga ke Mekah di selatan dengan Baghdad di sebelah timur sehinggalah Algeria di sebelah barat.

Permaisuri Roxelane

Era pemerintahan Sultan Suleiman turut menyaksikan pelbagai bentuk reformasi perundangan, ekonomi dan sosial sehingga baginda digelar Magnificent atau Mengagumkan oleh pihak Barat.

Tetapi, kejayaan ini tidak akan hadir tanpa kelibat wanita yang menjadi tulang belakang kejayaannya, Hurrem Sultan.

Haseki Hurrem Sultan atau nama sebenarnya Aleksandra Lisowska sebenarnya seorang wanita berbangsa Ukraine dan dilahirkan di Ruthenia, barat Ukraine pada tahun 1505 semasa wilayah tersebut masih diperintah kerajaan Poland.

Selain dikenali sebagai Hurrem Sultan, dia juga dikenali dengan nama Roxelane/Roxalana yang bermaksud 'Wanita dari Ruthenia'. Sementara nama Turkinya bermaksud wanita yang periang atau suka ketawa.

Pada usia 12 tahun, Roxelane ditangkap oleh tentera berkuda Crimea dan dibawa ke Islambul untuk dijual sebagai hamba.

Ada dua versi bagaimana Roxelane boleh sampai di istana. Pertama, satu versi menyatakan Roxelane dijadikan hadiah oleh rakan baik sultan, Ibrahim Pasha kepada Sultan Suleiman.

Sementara satu lagi versi merujuknya sebagai penenun kain di bahagian basuhan istana di mana ketika menenun, Hurrem akan menyanyi lagu rakyat negara asalnya.

Pada satu hari, Sultan Suleiman melalui tempat basuhan apabila dia mendengar seseorang menyanyi dan melagukan lagu-lagu Ukraine.

Sultan Suleiman yang berkebolehan berbahasa Slavik berhenti untuk berbual dengannya dan terus jatuh cinta kepada Hurrem.

Memang benar lelaki dan wanita Ukraine mempunyai wajah yang rupawan tetapi Hurrem memiliki paras rupa biasa-biasa sahaja.

Namun, itu ditampung dengan kebijaksanaannya menangani pelbagai masalah yang datang termasuk isu politik istana.

Ramai sejarawan menyifatkan Hurrem sebagai salah satu faktor kejayaan yang berlaku semasa era Suleiman al-Qanuni.

Sebelum bergelar isteri kepada Sultan Suleiman, Hurrem masih lagi berstatus haseki (ibu kepada putera sultan) walaupun selepas melahirkan anak pertamanya dengan baginda, Mehmed.

Justeru sebelum berkahwin, Hurrem meminta agar dia dimerdekakan terlebih dahulu, satu keinginan yang segera dipenuhi Suleiman.

Apabila syarat tersebut dipenuhi dan kedua-duanya disatukan, ia menjadikan Hurrem sebagai haseki pertama yang berkahwin dengan seorang pemerintah Uthmaniyyah.

Sultan Suleiman juga turut memecah tradisi satu isteri, satu anak dengan mempunyai enam cahaya mata bersama Hurrem dan juga haseki pertama yang tidak mengikut anaknya, Mehmed yang ditugaskan menjadi pentadbir di Manisa.

Ini kerana mengikut tradisi Uthmaniyyah, putera-putera Uthmaniyyah bersama bonda mereka dihantar ke daerah-daerah di luar Islambul bukan saja untuk menimba ilmu bahkan untuk menimba pengalaman sebagai pentadbir.

Namun, itu tidak berlaku kepada Hurrem yang memilih untuk kekal di Islambul berikutan keinginan Sultan Suleiman yang mahukannya di sisi bukan saja sebagai isteri tetapi juga sebagai penasihat.

Selepas satu kebakaran yang memusnahkan istana lama, satu istana baru yang menghadap lautan dibina iaitu Istana Topkapi.

Istana ini bukan sekadar kediaman sultan tetapi juga sebagai pusat pentadbiran Empayar Turki Uthmaniyyah.

Dan mengikut tradisi Uthmaniyyah yang bermula semasa era Mehmed II, tiada wanita dibenarkan tinggal di istana yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan.

Namun, semua itu berubah semasa era Sultan Suleiman di mana baginda membenarkan Hurrem tinggal bersamanya dan membenarkan harem istana lama dipindahkan ke Topkapi.

Bila bonda Suleiman, Hafsa Sultan mangkat pada tahun 1534 dan isteri pertama baginda, Mahidevran memilih mengikut puteranya Mustafa, ini meninggalkan Hurrem sebagai satu-satunya wanita paling berkuasa dalam istana.

Apabila Suleiman berangkat ke perbatasan untuk mengikuti operasi-operasi ketenteraan, baginda kekal di istana sebagai mata dan telinga suaminya yang tercinta.

Hurrem selalu berutus surat dengan Suleiman di mana kebanyakan surat bukan sekadar luahan perasaan romantis antara mereka tetapi juga berkenaan soal hal ehwal negara seperti perkembangan terbaru di Islambul dan isi perbincangan Hurrem dengan penasihat-penasihat Suleiman.

Salah satu perkara penting yang disumbangkan Hurrem ialah mengeratkan lagi hubungan Empayar Turki Uthmaniyyah dengan kerajaan Poland semasa era pemerintahan Raja Sigismund II Augustus, yang memerintah dari 1548 hingga 1572.

Namun, tempohnya sebagai penasihat turut diselubungi kontroversi apabila dikatakan terlibat dalam pembunuhan Perdana Menteri, Pargali Ibrahim Pasha (1536) dan pembunuhan putera sulung Suleiman merangkap anak tiri Hurrem, Mustafa (1553).

Bagaimanapun, usah percaya bulat-bulat kisah-kisah ini kerana kebanyakan kisah yang direkodkan berdasarkan pendapat orang luar dan intepretasinya berdasarkan kefahaman sesiapa yang mendengarnya.

Contohnya, dalam pembunuhan Mustafa, kisah yang dibawa oleh Paolo Giovio dan Luidgi Bassano diambil dari sumber khabar angin.

Namun, itu tidak bermakna Mustafa seharusnya layak menduduki takhta. Ini kerana berdasarkan keterangan sejarawan, dia seorang yang cuai dan kurang sabar, dua ciri yang mengecualikannya sebagai calon sultan.

Sultan Suleiman juga tidak teragak-agak menghukum putera Hurrem sendiri iaitu Bayezid kerana melancarkan pemberontakan terhadapnya.

Walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar kerana mengingatkan Sultan Suleiman terhadap cinta sejatinya itu, demi kebaikan dan perpaduan jangka panjang empayar, ia perlu dilakukan.

Ini telah membawa kepada hukuman mati ke atas Bayezid dan empat puteranya di ibu negara kerajaan Safavid, Qazvin, pada tahun 1561.

Perkara ini terhasil melalui ikrar Suleiman terhadap pemerintah Safavid, Shah Tahmasp I untuk mengukuhkan kembali Perjanjian Amasya dan mengembalikan semula hubungan kedua-dua kerajaan. Ini membuka ruang kepada Selim II menaiki takhta pada tahun 1566.

Di sebalik semua ini, itu tidak menghalangnya menyumbang kepada pembangunan sekitar empayar dengan meniru model sumbangan isteri Khalifah Harun ar-Rashid dari kerajaan Bani Abbasiyyah, Zubaidah binti Jaafar.

Seperti Zubaidah, Sultan Suleiman turut melaksanakan projek berorientasikan kebajikan dari Mekah hingga Baitulmaqdis, seperti dapur Menara Haseki Sultan (Baitulmaqdis), dapur Menara Haseki Hurrem (Mekah), Kompleks Haseki Sultan di Istanbul yang terdiri daripada sebuah masjid, madrasah, sebuah pancuran air dan sebuah hospital wanita serta dua buah kompleks masjid di Adrianopole dan Ankara.

Kebanyakan seni bina bangunan ini dibuat oleh ketua arkitek diraja, Mimar Sinan.

Pada tahun 1558, Hurrem Sultan kembali ke hadrat Penciptanya dan dimakamkan di kawasan laman Masjid Suleymaniye, masjid sama yang mendapat sentuhan Mimar.

Berdasarkan satu legenda, selepas kemangkatan Hurrem, Suleiman merasa terlalu sedih hingga berasa tidak selesa menikmati kehidupan.

Pada tahun 1586, baginda mangkat selepas terlibat dalam Pertempuran Szigetvar sebagai sebahagian daripada usahanya menakluk Vienna.

Dengan kemangkatan Sultan Suleiman, takhta Empayar Turki Uthmaniyyah diisi oleh Selim II dan baginda dimakamkan bersebelahan makam Hurrem di Masjid Suleymaniye.

Sementara itu, legasi Hurrem masih dirasai sehingga ke hari ini dari Turki hinggalah ke Ukraine.

Pada tahun 2007, komuniti Muslim di Mariupol, Ukraine menamakan sebuah masjid sempena namanya.

Sementara di kaca televisyen, watak Hurrem dibawa oleh Gulben Ergen (minisiri Hurrem Sultan/2003), Meryem Uzerli dan Vahide Percin (Magnificent Century/2011-2014).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

from SentiasaPanas https://ift.tt/3a8hX8A via IFTTT
SHARE

Author

Hi, Its me Hafeez. A webdesigner, blogspot developer and UI/UX Designer. I am a certified Themeforest top Author and Front-End Developer. I'am business speaker, marketer, Blogger and Javascript Programmer.

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

loading...