SBDJ Siri 130: Si Tua Misteri Dari Solok

loading...
Dari ambang pintu, saya perhatikan langkah nenek yang teratur. Sinar matahari tidak dapat menyentuh rambut dan tempurung kepalanya yang dibalut dengan selendang kuning. Wajahnya yang kemerahan dan berpeluh masih mampu mengukir senyum untuk saya.

Toyol jadi-jadian

"Nek dari mana?" tanya saya kehairanan, sebaik saja nenek melintas di depan saya untuk masuk ke rumah.

"Dari surau, aku hantar kuah ayam seperiuk."

"Kenapa tak nanti saya nek?"

"Kamu mandi lama sangat di perigi, jadi aku hantar dulu mana yang senang," tutur nenek lalu duduk bersimpuh di lantai. Dengan hujung selendang dia mengesat peluh di wajah.

Saya segera menggigit bibir bawah. Sepasang anak mata menyorot wajah nenek dan hati saya segera berkata; Memang, kau nenek yang baik. Tidak mahu membebankan cucumu dengan kerja-kerja yang sukar. Terima kasih nenek.

Suara hati saya terus beralun dan berombak dalam rongga dada.

"Kenapa Tamar? Kamu suka tengok kulit muka nenek yang dah berkedut ni," kata nenek bersahaja.

Senyumannya masih terukir di bibir. Saya menarik nafas dalam-dalam.

"Bukan fasal tu nek."

"Habis fasal apa Tamar."

"Nenek terlalu baik."

"Sudah , jangan merepek, pergi bawa barang-barang ke surau. Tak lama lagi waktu Asar tiba," wajah nenek nampak serius. Dan saya segera mematuhi arahannya.

Dalam perjalanan ke surau, sambil menatang talam besar yang berisikan pulut. Fikiran saya masih tertumpu kepada mimpi yang saya alami tadi.

Kerana itu, saya tidak ambil peduli tentang nenek yang mengekori saya sambil memikul setandan pisang emas masak.

Memang saya berhasrat mahu menceritakan apa yang saya alami dalam mimpi itu pada Datuk. Biar dia membuat tafsiran yang boleh menyenangkan hati saya.

Mungkin bukan sekarang. Tidak mengapa, kalau tak boleh hari ini, esok lusa pasti saya ajukan kepadanya. Saya mahu mendengar pendapat atau komen Datuk sendiri.

Sampai di surau, pulut kuning satu talam saya serahkan pada Mat Upeh, (siak surau yang berasal dari Pengkalan Baru, dekat Pantai Remis).

Nenek meletakkan setandan pisang emas atas pelantar. Urusan selanjutnya terletak atas bahu Mat Upeh.

"Air kopinya macam mana?" tanya Mat Upeh.

"Datuk si Tamar tak cakap apa-apa dengan awak?" sahut nenek.

Mat Upeh gelengkan kepala. Saya dan nenek berpandangan.

"Aku minta pertolongan kamu menyediakannya. Gula dan kopi aku sediakan," saya dan nenek segera merenung ke arah Datuk yang secara mendadak muncul dari sebelah kiri pelantar surau.

Kerana memikirkan tugasnya sudah selesai, nenek tidak mahu membabitkan dirinya dalam dialog antara Datuk dengan Mat Upeh. Nenek angkat kaki dan terus pulang.

"Macam mana Encik Mat, boleh ke tolong saya," Datuk minta kepastian.

"Bagi saya tak ada apa-apa masalah," jawapan dari Mat Upeh amat menyenangkan Datuk.

Saya lihat Datuk menyeluk saku baju. Dia mengeluarkan sesuatu dan saya kurang pasti, apakah barang yang dikeluarkan oleh Datuk itu.

Datuk hulurkan barang itu kepada Mat Upeh seraya berkata, "Nah duit ni, belilah kopi dan gula. Kamu agak sendiri berapa banyak yang mesti dibeli, jemaah dianggarkan kira-kira dua puluh orang .Wang lebihnya ambil untuk kamu."

Dengan senang Mat Upeh menerima tugas tersebut, kalau tidak salah penglihatan saya wang yang dihulurkan oleh Datuk kepada Mat Upeh berjumlah sepuluh ringgit.

"Saya terima amanah awak," tutur Mat Upeh sambil menepuk bahu kanan Datuk dengan mesra.

ARAHAN

Waktu Asar sudah masuk, Datuk menyuruh saya memukul beduk. Saya juga diarahkan supaya melaungkan azan. Semua arahan Datuk saya patuhi.

Sebaik saja saya menamatkan laungan azan, para jemaah datang berduyun ke surau kecil yang terletak berhampiran dengan kolam.

Di hujung kolam, sebelah barat terbentang sawah padi yang sedang tumbuh menghijau.

Kerana saya berdiri di muka pintu surau, semua jemaah yang masuk menghulurkan tangan untuk bersalam dengan saya. Dengan penuh hormat dan bangga saya menyambutnya.

Datuk yang berdiri di tengah surau merenung ke arah saya dengan senyum. Mungkin Datuk berasa puas dan bangga kerana saya pandai melayan para jemaah, pandai melaungkan azan dan sebentar lagi saya akan melakukan qamat.

Tiba-tiba hati dan perasaan saya tersentak, apabila telapak tangan seorang lelaki tua yang tidak saya kenali.

Secara mendadak saya terbayangkan wajah Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang datang dalam mimpi saya.

Setelah saya amati wajahnya ternyata lelaki tua yang sedang saya genggam telapak tangannya itu bukan Sheikh Abu Bakar Al-Petani.

Di saat fikiran dan perasaan saya berperang memikirkan siapakah lelaki tua misteri? Datuk segera mendekati saya.

"Ini cucu saya tuan haji," beritahu Datuk pada lelaki tua itu.

Dia menarik telapak tangannya yang saya genggam dan terus memeluk tubuh saya.

"Kamu yang azan tadi?" soalnya sambil melepaskan tubuh saya yang dipeluknya.

"Iya," sahut saya sambil cuba menjauhkan diri dari lelaki tua itu.

"Tuk, siapa dia ni tuk, sebelum ni tak pernah saya tengok wajahnya," terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya.

Tidak saya duga sama sekali bahawa Datuk kurang senang dengan cara saya mengemukakan pertanyaan terhadapnya.

Akibatnya, Datuk jegilkan biji mata serta membayangkan kemarahan di wajahnya tetapi, api kemarahannya segera berakhir apabila sepasang biji mata orang tua itu tertumbuk ke wajahnya.

"Jangan bengis dengan cucu sendiri," saya terdengar orang tua itu melafazkan kata-kata. Datuk tersengih dan cuba tersenyum.

"Tamar."

Saya yang bersedia mahu melangkah ke tengah surau untuk melakukan qamat, terpaksa membatalkan niat tersebut.

Sebaliknya saya terus melangkah setapak ke arah Datuk. Saya renung wajah Datuk.

"Kenapa tuk?"

"Kau nak tahu Tamar, inilah Tuan Haji Yatimi. Dia ni baru datang dari Solok," beritahu Datuk kepada saya.

"Solok tu di mana tuk?"

"Di Sumatera Barat, letaknya kira-kira 24 km dari Kota Padang. Dia ni ulama besar, Datuk banyak belajar darinya," sambung Datuk lagi, cukup bersemangat Datuk menjelaskan tentang biodata orang tua itu di depan saya.

"Usah dikisahkan tentang aku padanya, suruh sesiapa qamat segera," orang tua itu memotong cakap Datuk.

"Cucu saya qamat," sahut Datuk.

"Bagus, pergi segera," orang tua itu terus tepuk bahu kanan saya. Dan saya pun melangkah ke tengah surau.

Beberapa saat kemudian kalimat-kalimat qamat pun bergema dalam surau. Para jemaah pun segera mengambil tempat masing-masing.

Saya kira Datuk yang akan menjadi imam, rupa-rupanya tetamu baru yang mengambil alih tugas Datuk.

PUJI

Semua orang memuji Haji Yatimi, kata mereka pembacaan doa yang dilakukannya cukup baik. Kalimat-kalimat yang disebut cukup jelas dan terang, pembacaannya cukup fasih. Dia melayan para jemaah dengan ramah, tidak kira muda atau tua.

Malah, dia melahirkan rasa bangga kerana Datuk menyuruh dia menjadi imam dan membaca doa kesyukuran kerana penyakit yang dideritai oleh Khoja Lisut sudah sembuh.

"Enaknya," kata Haji Yatimi sebaik saja dia menikmati hidangan yang disediakan oleh Mat Upeh untuk para jemaah. Datuk senyum panjang.

"Lepas makan ni, orang yang saya ikhtiarkan itu mahu berikrar di depan para jemaah. Dia mahu bertaubat dan tidak mahu melakukan sebarang kejahatan," bisik Datuk kepada Haji Yatimi.

"Apa dia sudah bertaubat betul-betul atau main-main," semacam ada keraguan dalam diri Haji Yatimi.

Datuk tersentak mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Haji Yatimi. Dua tiga kali saya lihat Datuk kerutkan kening , ekor matanya mengerling tajam ke arah Khoja Lisut yang duduk di sudut surau.

Seolah-olah mahu mengasingkan diri dengan para jemaah yang sudah kenyang makan pulut kuning berlaukkan ayam.

Mat Upeh terus mengumpulkan pinggan, piring dan cawan kosong. Kulit pisang emas ditaruh dalam baldi plastik warna merah.

"Kalau dia benar-benar mahu bertaubat memang bagus. Kalau sekadar mahu main-main, nanti akibatnya memakan diri," tutur Haji Yatimi tenang.

"Orang-orang yang berubat dengan saya itu memang benar-benar mahu bertaubat," penuh yakin Datuk bersuara.

Tetapi tidak semudah itu Haji Yatimi mahu menerima kata-kata dari Datuk.

"Sudahkah orang itu buat sembahyang taubat?" sepasang biji mata Haji Yatimi terpaku ke wajah Datuk.

"Sudah tuan haji."

"Bagus, mana orangnya? Doa kesyukuran sudah dibaca tetapi orangnya tak mahu diperkenalkan pada aku. Sebelum dia baca ikrar, aku nak berkenalan dengannya," Haji Yatimi mengajukan permintaan kepada Datuk.

Saya kira tanpa disedari, Datuk sudah melakukan kesilapan besar kerana tidak memperkenalkan Khoja Lisut kepada tetamunya.

"Oh, maafkan saya tuan haji, saya terlupa."

"Tak mengapa, kita ni manusia tidak lepas dari kesilapan dan lupa. Bukankah manusia itu memang tidak sempurna, manusia itu hamba Allah yang daif," sambil berkata-kata, Haji Yatimi merenung setiap muka para jemaah.

Semua yang hadir anggukkan kepala. Setuju dengan perkara yang dikatakan oleh Haji Yatimi.

"Khoja, ke mari kamu," suara Datuk meninggi.

Khoja Lisut segera bangun, berjalan dengan tunduk dari sudut surau menuju ke arah Datuk dan Haji Yatimi.

Semua biji mata para jemaah tertumpu ke arah Khoja Lisut. Ada di antara para jemaah itu berbisik sama sendiri. Khoja Lisut duduk bersila di depan Haji Yatimi dan Datuk.

"Aku perkenalkan Haji Yatimi dari Solok," suara Datuk lantang.

Semua yang berada dalam perut surau mendengarnya. Haji Yatimi lebih awal menghulurkan tangan kepada Khoja Lisut.

Mereka bersalam erat, mata Haji Yatimi menyorot tajam ke bola mata Khoja Lisut.

Dengan sedaya upayanya Khoja Lisut cuba mengelakkan biji matanya dari bertembung dengan biji mata Haji Yatimi.

Dia berasakan sinar mata orang tua itu amat tajam menusuk ke jantung kalbunya. Dadanya berdebar tanpa sebab.

"Kenapa tangan kamu menggeletar?" tegur Datuk setelah melihat lengan kanan Khoja Lisut menggeletar.

Semua biji mata dalam surau tertumpu ke arah Khoja Lisut. Cepat-cepat Haji Yatimi melepaskan telapak tangan Khoja Lisut yang dirangkumnya. Wajah Khoja Lisut kelihatan pucat sekali.

"Kamu sakit Khoja?"

Pertanyaan Datuk dijawab oleh Khoja Lisut dengan menggelengkan kepala.

TANGAN

Dalam masa yang sama Khoja Lisut memberi isyarat tangan kepada Datuk menyatakan yang dia mahu kembali duduk di tempat asalnya, di sudut surau. Apa yang dilakukan oleh Khoja Lisut dapat dikesan oleh Haji Yatimi.

"Duduklah dulu, di depan saya."

"Kurang manis rasanya duduk di sini, terkeluar dari barisan jemaah yang lain," tingkah Khoja Lisut sambil merenung ke arah Datuk untuk meminta sokongan agar permintaannya direstui oleh Datuk.

"Duduklah di situ Khoja, agaknya ada hal mustahak yang nak dicakapkan Haji Yatimi kepada kamu," kata-kata yang diucapkan oleh Datuk itu amat mengecewakan diri Khoja Lisut.

Dia tidak ada pilihan lain dan terpaksa duduk di depan Haji Yatimi.

"Boleh aku tanya kamu?" Haji Yatimi tatap wajah Khoja Lisut.

"Silakan," sahut Khoja Lisut.

"Bagus, aku nak tahu, kamu benar-benar nak bertaubat atau sengaja suka-suka nak bertaubat. Cakap jujur dengan aku, perkara agama tak boleh dibuat main-main begitu juga dengan perkara taubat ni, jangan di olok-olok nanti taubat makan diri," nada suara Haji Yatimi sekejap meninggi dan sekejap merendah.

Semua yang ada dalam surau terus pasang telinga. Kata-kata itu membuat Khoja Lisut bertambah cemas. Para jemaah penuh debar menanti jawapan dari Khoja Lisut.

Beberapa jemaah yang tidak mahu mengikuti perkembangan selanjutnya segera beredar. Bagi mereka itu tidak penting, apa yang penting ialah sembahyang berjemaah, menikmati pulut kuning bersama lauk ayam, pisang sudah memadai.

Cuma itu yang disebutkan oleh Datuk kepada mereka dan permintaan Datuk itu sudah mereka laksanakan.

"Saya sudah insaf, saya tak mahu ulang perkara yang sudah saya buat," begitu tegas suara Khoja Lisut, tetapi dia masih belum mahu menatap wajah Haji Yatimi.

Tiba-tiba para jemaah bertepuk memberi sokongan atas keazaman yang diluahkan oleh Khoja Lisut.

"Khoja..." mulut Datuk terlopong, tidak dapat meneruskan kata-kata.

Datuk terkejut melihat tindakan Khoja Lisut yang terus membuka bunga silat dan berdiri betul-betul di tengah surau. Beberapa orang jemaah bangun lalu menuju ke pintu.

"Dengan nama Allah yang maha besar, saya berjanji mahu menjadi manusia yang baik, taat pada hukum Allah, tidak akan menganiaya sesama manusia. Jika saya melanggar sumpah ini, saudara atau sesiapa saja boleh menghukum saya..."

"Nanti," jerit Haji Yatimi.

Khoja Lisut tergamam dan terus duduk. Datuk menggigit bibir dan saya lihat jemaah yang masih ada dalam surau, lebih kurang lima orang saja.

"Kenapa tuan haji?" tanya Khoja Lisut.

"Jangan minta orang lain menghukum diri kamu. Bila kamu berbuat macam itu, ertinya kamu tidak jujur pada diri sendiri, kamu tak payah minta orang lain menghukum kamu, sesungguhnya perbuatan kamu ini sudah menampakkan riak," Haji Yatimi berhenti bercakap, dia menarik nafas dalam-dalam.

Datuk tidak berkata apa-apa. Lima orang jemaah yang berada di situ nampak resah. Khoja Lisut tunduk merenung lantai surau.

"Dengar sini, bila kamu sudah bertaubat, ubahlah sikap. Tak payah nak beritahu pada orang lain , kamu bertaubat dengan Allah bukannya dengan manusia, apa perlunya bila bertaubat beritahu orang lain," Haji Yatimi seperti memberi ceramah.

Semasa Haji Yatimi mengungkapkan kata-kata itu, saya lihat Datuk sentiasa berada dalam resah gelisah. Macam ada sesuatu yang tidak kena.

"Dari mana kamu belajar semuanya ni?" Haji Yatimi terus menyoal Datuk.

Dengan serta-merta Khoja Lisut merenung ke arah Datuk. Renungan itu dapat ditafsirkan oleh Haji Yatimi lalu dia tersenyum.

"Kalau itu yang kamu beritahu dia, kamu sudah membuat kesilapan besar," Haji Yatimi tujukan kata-kata itu untuk Datuk.

"Inilah kesilapan saya," Datuk mengakui kesilapannya kerana memberi penerangan yang kurang tepat untuk Khoja Lisut.

"Lain kali jangan buat lagi, aku tahu ada benda yang belum selesai dalam diri orang ini, dia tidak ikhlas dengan dirinya sendiri," terbeliak biji mata Datuk mendengar ungkapan dari Haji Yatimi dan Datuk menggigit bibir.

Rasa geram dan marah terhadap Khoja Lisut terpamer di wajah, Datuk genggam penumbuk, dia merasakan dirinya telah diperdayakan oleh Khoja Lisut dengan cara terhormat.

MUNCUL

Lima orang jemaah yang masih berada dalam surau mula naik bosan dengan gelagat Khoja Lisut.

Mereka pun segera angkat punggung, meninggalkan ruang surau. Sebaik saja lima jemaah itu pergi, muncul pula Mat Upeh lalu duduk tidak jauh dari saya.

"Aku cuma nak tengok saja," bisiknya ke telinga saya. Saya pun anggukkan kepala.

"Kamu benar-benar mahu bertaubat?" datang lagi pertanyaan dari Haji Yatimi untuk Khoja Lisut.

"Berapa kali saya mahu terangkan," Khoja Lisut mula naik darah.

"Sudah kamu buang apa amalan yang tak baik dalam diri kamu?"

Kali ini Khoja Lisut renung kiri kanan, bagi memastikan apakah kata-kata itu memang ditujukan untuknya. Sepasang kelopak bibirnya seperti menggeletar.

"Tuan haji ni tanya kamu," jari telunjuk Datuk menuding ke arah muka Khoja Lisut.

"Saya," suara Khoja Lisut agak cemas.

"Iya," angguk Haji Yatimi.

Di saat Khoja Lisut berada dalam keadaan serba salah, tanpa memberitahu Datuk dan Mat Upeh, Haji Yatimi terus memegang pergelangan tangan kiri Khoja Lisut lalu menarik ke muka pintu surau.

"Mahu dibawa ke mana," tanya Khoja Lisut kepada Haji Yatimi.

"Turun ke tanah kita berbincang di halaman surau, ada sesuatu yang mesti kita selesaikan di situ."

"Maksud tuan haji?" tingkah Datuk sambil bangun.

"Banyak perkara di sembunyi dari kamu, ada ilmu jahat yang tidak dikeluarkannya," balas Haji Yatimi.

Tidak ada bantahan atau bangkangan dari Khoja Lisut. Ikut saja kata Haji Yatimi.

Sebaik saja berada di halaman surau, Haji Yatimi segera mengarahkan Datuk berdiri di sebelah kanan Khoja Lisut, sementara Mat Upeh pula diarah berdiri di kiri. Saya disuruh duduk di kaki tangga surau.

Haji Yatimi berdiri betul-betul di depan Khoja Lisut, bayangnya memanjang di tanah.

Kerana matahari sudah beransur redup, Datuk, Mat Upeh dan Khoja Lisut tidak merasai kepanasan. Angin petang yang bertiup lembut memberikan kesegaran kepada mereka.

"Kamu yang berdiri di sebelah kanan dan kiri mesti bertindak cepat. Lakukan apa saja, jika orang yang berada di tengah mahu melarikan diri, jatuhkan dia," Haji Yatimi mengeluarkan perintah kepada Mat Upeh dan Datuk.

Saya lihat Khoja Lisut tetap berada dalam keadaan tenang.

"Kamu mahu bertaubat?" Haji Yatimi renung Khoja Lisut.

"Iya."

"Kamu harus membuang segala ilmu pelindung, pendinding diri yang sudah sebati dengan darah daging kamu. Jika ilmu ini tidak ditawar, kamu yang susah nanti, di saat ajal kamu sudah sampai, nyawa kamu susah berpisah dengan badan. Walaupun tubuh kamu hampir binasa tetapi, kamu masih bernyawa," muka Haji Yatimi kelihatan merah padam.

Khoja Lisut yang tadi tenang, tiba-tiba berubah sikap, mukanya jadi bengis, matanya liar. Dia terus mendengus tidak tentu arah. Badannya nampak menggigil.

"Sebenarnya, yang bernyawa tu bukannya kamu. Kamu sudah mati, roh kamu sudah tiada, apa yang dilihat oleh orang lain itu adalah ilmu syaitan yang cuba menipu orang-orang yang hidup, mahu meyakinkan orang-orang yang hidup bahawa ilmu syaitan itu lebih tinggi," sambung Haji Yatimi.

Saya lihat Khoja Lisut bertambah resah. Dua tiga kali dia menghentakkan pangkal sikunya ke bahagian perut Datuk dan Mat Upeh.

Datuk tidak menghadapi apa-apa masalah dengan tindak-tanduk Khoja Lisut itu tetapi, Mat Upeh mengalami rasa sakit dan senak di perut setiap kali Khoja Lisut menghentakkan siku ke perutnya.

"Sekarang kamu bersedia menggugurkan ilmu yang ada itu?" Haji Yatimi minta kepastian.

"Saya setuju, ilmu itu tidak saya tuntut tetapi datang sendiri waktu saya menuntut ilmu kebatinan, guru saya meresapkan kepada saya," terang Khoja Lisut.

"Aku faham, guru kamu mahu membuang ilmu itu dan dia menggunakan kamu sebagai warisnya. Dan kamu mahu membuang ilmu itu dan sekarang berusaha untuk melepaskan pada orang lain. Betul atau tidak?"

"Iya, saya mengaku."

Terbeliak biji mata Datuk mendengar pengakuan Khoja Lisut. Mat Upeh gelengkan kepala dan saya tidak menduga sama sekali yang Khoja Lisut masih mahu menyembunyikan sesuatu dari Datuk.

Setelah menerima pengakuan dari Khoja Lisut, Haji Yatimi termenung sejenak. Tumit kaki kirinya ditekan ke bumi sambil mengangkat tangan kanannya ke arah Datuk dan Mat Upeh agar jangan berada terlalu dekat dengan Khoja Lisut. Angin petang yang bertiup terus menggerakkan dedaun pokok.

"Di sinilah kamu tidak ikhlas, kamu mahu menurunkan ilmu itu kepada budak ini," Haji Yatimi segera meluruskan telunjuknya ke arah saya.

"Kamu mahu memasukkan ilmu itu ke dalam dirinya secara pertukaran nafas waktu tidur, tapi kamu masih belum berpeluang," sambung Haji Yatimi.

"Hei!!!" pekik Khoja Lisut sekuat hati, dia terus melompat setinggi pohon kelapa dara.

Kedua belah kakinya lurus ke arah dada Haji Yatimi dan tangan kanannya bersedia untuk melepaskan pukulan ke arah leher Haji Yatimi.

Melihat keadaan yang agak gawat itu, Datuk segera bertindak. Dia berlari ke arah Haji Yatimi dan berdiri di depan lelaki tua itu.

Datuk pun membuka silat untuk melindungi Haji Yatimi, tetamu terhormat yang tidak di undangnya. Datuk pun membuka silat.

Datuk luruskan kedua belah lengannya dan sepasang telapak tangannya dikembangkan ke arah sepasang telapak kaki Khoja Lisut yang laju menuju ke dada Datuk.

Saya lihat tubuh Khoja Lisut berputar-putar di udara lalu berpatah balik ke arah tempat dia berdiri.

Khoja Lisut jatuh tersembam di sisi Mat Upeh. Datuk segera melangkah mahu menerkam ke arah Khoja Lisut.

Tetapi, Haji Yatimi bertindak dengan pantas memegang lengan kanan Datuk lalu dipulas ke belakang.

"Kenapa tuan haji?"

"Jangan dilayan, dia tak sedar apa yang dibuatnya. Dia dikuasai oleh ilmu sesatnya," kata Haji Yatimi lalu melangkah ke arah Khoja Lisut yang tersungkur di bumi.

"Hatinya mahu bertaubat tetapi, pendindingnya menjadi batu penghalang," bisik Haji Yatimi ke telinga Datuk.

Haji Yatimi terus bertinggung di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh berdiri tidak jauh dari Datuk.

Saya terdengar suara Khoja Lisut mengaum macam harimau, tubuhnya mula membongkok dan kedua belah tangannya mencakar-cakar tanah, perbuatannya itu tidak ubah macam kelakuan harimau liar.

Dia terus mengaum dan cuba beberapa kali mahu mencakar muka Datuk tetapi, Datuk dapat mengelak dengan cepatnya.

Saya mula melihat kuku di jarinya bertukar menjadi macam kuku harimau.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 130/284

BACA: SBDJ Siri 129: Api Keluar Dari Kubur
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

from SentiasaPanas https://ift.tt/2ToR0Hv via IFTTT
SHARE

Author

Hi, Its me Hafeez. A webdesigner, blogspot developer and UI/UX Designer. I am a certified Themeforest top Author and Front-End Developer. I'am business speaker, marketer, Blogger and Javascript Programmer.

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

loading...