SBDJ Siri 132: Bukan Muntah Darah

loading...
Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang khoja Lisut.

Toyol jadi-jadian

Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri khoja Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat.

Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit tengkuk ayam jantan yang sudah tua.

Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh kaki.

"Kenapa?" saya segera mendekati Khoja Lisut yang terjatuh di bumi.

Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan perlahan ke surau.

"Semuanya sudah habis, Tamar."

"Maksudnya," saya potong cakap Khoja Lisut yang tercungap-cungap itu.

Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.

"Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi, Tamar."

Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia tidak jatuh untuk kali kedua.

Saya dan khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat Upeh dan Datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja.

Oleh kerana terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.

"Kenapa muka kamu berubah, Khoja?" tanya Datuk.

"Kau nampak aku sudah cukup tua?" dalam tercungap-cungap Khoja Lisut bersuara.

Kelopak matanya berkedip-kedip dan biji mata hitamnya berputar-putar.

"Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun," semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi.

"Kalau tak percaya dengan aku, tanyalah dirinya sendiri," sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung dagunya.

Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. Dia mahu buang air kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia menuju ke arah tandas.

Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan Datuk dan Mat Upeh.

Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka.

Hati kecil saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang diucapkan oleh Haji Yatimi.

TURUN

Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau. Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.

Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung lengan baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.

"Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan tadi?"

Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh. Kedua-duanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja Lisut.

"Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada mereka?"

"Tidak," jawab Khoja Lisut.

"Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada mereka," Haji Yatimi seperti mendesak.

Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut tidak boleh berdalih lagi.

"Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak," sebaik sahaja Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.

Mat Upeh membatalkan hasratnya untuk pulang. Dia terus mengurut-ngurut belakang Khoja Lisut.

Batuk Khoja Lisut berterusan dan dia menekup mulutnya dengan telapak tangan kiri, sementara tangan kanannya merawang-rawang, memberi isyarat supaya Mat Upeh dan Datuk jangan mendekatinya.

Datuk dan Mat Upeh segera menjauhkan diri darinya. Dalam keadaan yang terbongkok-bongkok Khoja Lisut berlari ke arah pangkal pokok Sentul. Dia muntah darah di situ.

"Jangan dibantu. Biarkan dia sendirian di situ."

Datuk tidak jadi melangkah ke arah Khoja Lisut, setelah mendengar kata-kata daripada Haji Yatimi. Saya tidak mengerti kenapa arahan itu dikeluarkan oleh Haji Yatimi.

Barangkali dia mahu menyeksa Khoja Lisut. Ini perbuatan orang yang tidak berilmu dan bertimbang rasa, bentak hati kecil saya.

"Kenapa tak boleh bantu dia?" ternyata saya tidak dapat menahan gelora batin.

Saya terpaksa berterus-terang dengan Haji Yatimi yang amat dihormati oleh Datuk.

"Itu urusan orang tua-tua, kenapa kamu nak masuk campur," tidak saya duga pertanyaan itu menimbulkan kemarahan buat Datuk.

Dia segera mencekak leher baju saya. Dan saya, bersedia menerima penampar atau penumbuk darinya. Datuk angkat tangan kanan lalu mengembangkan lima jarinya.

Saya pejamkan mata dan terus menghitung dari satu hingga sepuluh di dalam hati. Penuh debar saya menanti tamparan dari Datuk singgah ke pipi.

Apa yang dinanti tidak kunjung tiba. Sampai sepuluh hitungan, saya tidak mengalami apa-apa. Kelopak mata saya buka, apa yang saya lihat, pergelangan Datuk berada dalam genggaman tangan Haji Yatimi.

Mat Upeh tersenyum lebar tetapi ada rasa kesal terpamer di wajah Datuk.

"Jangan begitu, itu adalah hak cucu kamu untuk bertanya sesuatu. Beri kebebasan padanya," Haji Yatimi melepaskan lengan tangan Datuk yang dipegangnya.

Datuk mengerling tajam ke arah saya, seolah-olah berkata: 'Kamu bernasib baik kerana haji ini berada di sini.'

Saya menelan air liur. Terasa lega dan saya bersyukur pada Tuhan kerana tidak menjadi mangsa dari sikap panas baran Datuk itu.

"Dia tak wajar campur hal orang tua-tua, tak elok bertanya perkara yang sudah dilarang untuk bertanya," itulah penjelasan yang Datuk berikan kepada Haji Yatimi.

"Tidak mengapa dia bertanya dan kewajipan orang yang ditanya ialah memberikan jawapan. Dengan cara itu, cucu kamu dapat berfikir. Bukankah Islam itu menyuruh pengikutnya berfikir dengan akal bukannya dengan perasaan. Islam memberikan kebebasan berfikir, kenapa kamu tidak memanfaatkan ajaran yang baik itu?"

"Tapi..." sanggah Datuk.

"Tak ada tapinya, kau bersikap terbuka, jangan terlalu keras dengan cucu sendiri, nanti boleh menimbulkan rasa benci dalam dirinya terhadap kamu."

"Saya faham," Datuk seperti mengalah.

Haji Yatimi merenung ke arah saya. Dia terus senyum tanpa berkata apa-apa. Renungannya berubah dari wajah saya ke arah Khoja Lisut yang masih muntah.

Beberapa minit kemudian, Khoja Lisut berhenti muntah. Haji Yatimi merenung saya kembali.

"Sebabnya saya melarang sesiapa mendekatinya kerana saya mahu dia muntah dengan selesa. Lagipun saya yakin, dia bukan muntah darah."

"Kalau bukan muntah darah, dia muntah apa?” saya pintas cakap Haji Yatimi.

Saya jeling ke arah Datuk. Dia menggigit lidah. Cukup geram dengan tindak tanduk saya itu.

"Dia muntahkan segala kekotoran dalam tali perutnya masa dia mengamalkan ilmu salahnya dulu. Dia banyak menelan makanan-makanan haram yang kotor, begitu juga dengan minuman. Dia buat macam itu kerana disuruh oleh syaitan yang menjadi gurunya."

"Saya faham," kata saya.

"Kita nampak yang dimuntahkannya itu darah, bila kita dekat dengannya, kita tak nampak apa-apa. Tapi, kalau kita terkena muntahnya, bahaya. Kena mata boleh buta, masuk lubang telinga kita pekak, kena kulit, kudis sepanjang hayat, susah nak mencari ubatnya."

"Terima kasih tuan haji, saya dah faham sekarang," kata saya.

Mat Upeh dan Datuk ketawa kecil melihat telatah saya itu. Saya akur dengan cakap Haji Yatimi.

Selesai sahaja Khoja Lisut muntah, dia segera datang ke arah kami. Haji Yatimi segera mengambil air di kolah lalu membasuh muka Khoja Lisut.

"Nampaknya, saya tak boleh meninggalkan tempat ini, hari dah petang benar. Boleh tidak saya tidur di rumah saudara semalam lagi?" Khoja Lisut tujukan pertanyaan kepada Datuk.

"Kamu tak payah menumpang tidur di rumahnya, kita bermalam di surau ini. Lepas sembahyang Isyak kita buat ibadat malam hingga ke subuh sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah kerana kamu sudah kembali ke jalan yang benar," aneh sekali, bukan Datuk yang menjawab pertanyaan Khoja Lisut tetapi, Haji Yatimi.

"Soalnya, apakah para jemaah lain membenarkan saya bermalam di surau," ada keraguan di wajah Khoja Lisut.

"Mereka tak kisah, apa yang kita buat untuk kebaikan."

"Mungkin ada yang mahu ikut sama," tingkah Datuk.

"Kita mahu membuat amalan mengikut suruhan Allah berpandukan pada Quran dan hadis, kita bukan nak buat maksiat," sampuk Mat Upeh.

"Soalnya sekarang kalau kau mahu kembali ke jalan Allah, jangan banyak soal, ikut saja cadangan aku. Aku ke mari pun kerana kamu. Rugi rasanya, orang yang tinggi ilmu mempertahankan diri dijadikan alat oleh iblis," nada suara Haji Yatimi mula meninggi.

"Saya mengikut saja, baik kata orang di sini, baiklah buat saya."

"Syukur pada Allah," jerit Mat Upeh.

Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.

PULANG

Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan datang semula ke surau bila sampai waktu maghrib.

Waktu saya memusingkan badan ke kanan menuju lorong arah ke rumah, tiba-tiba Datuk memaut bahu kiri saya dari belakang.

"Nak ke mana Tamar?"

"Balik, tuk."

"Bagus, kamu suruh nenek masak nasi dan lauk banyak sikit, suruh dia agak-agak untuk makanan kita berempat, masa kamu datang balik ke sini, bawa makanan tu."

"Baik tuk," kata saya.

Perjalanan yang terhenti saya teruskan kembali. Di saat kegembiraan kerana hasrat saya tidak dihalang oleh Datuk, secara mendadak gegendang telinga saya menangkap bunyi telapak kaki manusia dari arah belakang.

Saya segera menoleh, Datuk sedang berlari anak ke arah saya. Langkah kaki pun saya matikan. Datuk berhenti di depan saya.

"Kenapa tuk?"

"Aku terlupa nak cakap dengan kamu," Datuk berhenti bercakap.

Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Ada senyum berlari di wajahnya.

"Apa dia perkara yang Datuk terlupa nak cakapkan tu," ulang saya.

"Begini, kamu ambil dua helai kain pelekat, sehelai baju kemeja, sehelai Baju Melayu dan dua helai kain basahan," tutur Datuk dengan tenang.

Saya terkejut mendengar permintaan Datuk itu. Lama juga saya termenung, berfikir kenapa Datuk minta barang-barang tersebut? Mungkin Datuk mahu pergi ke mana-mana.

"Buat apa semuanya tu Datuk?"

"Kain pelekat tu aku nak pakai, sehelai lagi nak bagi Khoja Lisut pakai. Kain yang dipakainya tu dah kotor, tak boleh dibawa sembahyang, begitu juga dengan baju."

"Kain basahan pula?"

"Satu untuk Khoja, yang lagi satu kami nak kongsi pakai, kami tak berani nak kongsi kain basahan dengan Si Khoja."

Saya anggukkan kepala, faham dengan apa yang diucapkan oleh Datuk. Persoalan yang bersarang dalam kepala saya sudah terjawab.

"Barang-barang tu, kamu hantar sekarang."

"Ha.." mulut saya ternganga.

Terkejut dengan arahan baru Datuk itu. Tidak diduga begitu cepat Datuk mahukan barang-barang tersebut.

Pada awalnya, saya kira Datuk mahukan barang-barang di bawa ke surau, semasa azan dilaungkan.

"Kamu hantar barang tu cepat, aku nak mandi dan tukar kain, lepas kau hantar, kau datang lambat ke surau pun tak apa."

"Macam mana, kalau lepas azan saya datang tuk?"

"Tak boleh. Kamu ni dah pandai membantah cakap aku. Kamu siapa dan aku siapa?" suara Datuk mula meninggi.

Dia terus menjegilkan sepasang biji matanya dan wajahnya cukup bengis. Sinar matanya bagaikan mahu membakar seluruh tubuh saya.

"Baik tuk, sekejap lagi saya datang bawa barang-barang yang Datuk mahu tu."

"Hum, cepat datang."

Datuk pun memusingkan badannya menghadap arah surau lalu melangkah dan saya dengan rasa kesal meneruskan perjalanan pulang.

Kadang-kadang saya merasakan amat rugi menjadi cucu kesayangan kepada Datuk yang suka bertindak mengikut aturan sendiri dan bersikap kuku besi.

Apa boleh buat saya tidak ada pilihan lain, sama ada suka atau tidak terpaksa tanggung sendiri.

Tetapi, rasa kesal itu berakhir, bila semua arahan Datuk saya patuhi tepat pada waktunya. Nama saya disebut-sebut pada para jemaah sebagai cucu yang taat dan mendengar kata. Haji Yatimi hanya tersenyum lebar.

Seperti yang dijadualkan 'Qiamullail' malam itu berjalan seperti yang ditetapkan. Dalam waktu tertentu, Haji Yatimi memberi perhatian khusus untuk Khoja Lisut. Dari apa yang saya lihat, memanglah Khoja Lisut sudah insaf.

Apa yang menariknya, Khoja Lisut dapat mengikut majlis Qiamullail malam itu dengan baik sekali.

Pembacaan ayat-ayat suci yang keluar dari mulutnya cukup terang dan jelas. Rukun sembahyangnya dipelihara dengan baik.

BELAJAR

Menurut kata Haji Yatimi, Khoja Lisut mendapat bimbingan agama sejak kecil lagi. Tetapi, kerana dia memikirkan bahawa dia beragama Islam kerana Datuk neneknya memang beragama Islam.

Kemudian belajar atau mendalami agama itu atas paksaan orang tuanya, lalu dia berpendapat agama itu mesti ada dalam dirinya untuk disimpan.

Dia tidak menghayati agama itu secara mendalam, tidak mahu menjadikan dirinya sebagai seorang Muslim sejati.

Dia mengalami kejutan bila berdepan dengan keadaan masyarakat sekelilingnya. Dia melihat orang yang taat pada agama, hidupnya agak perit tetapi orang yang mengabaikan hukum agama seperti tidak sembahyang, tidak membayar zakat, menipu dan mencuri, hidup mereka senang malah ada yang kaya raya.

Dari unsur-unsur tidak baik yang dilihat sekelilingnya, mengurangkan keyakinannya (sememangnya tidak yakin) terhadap apa yang diwarisi dari Datuk neneknya.

Keadaan itu mempengaruhi hidupnya, lalu agama baginya tidak penting. Tidak dijadikan panduan dalam hidupnya.

Khoja Lisut menjadikan dirinya seperti layang-layang yang putus tali. Demikian rumusan yang saya buat setelah mendengar pendapat Haji Yatimi terhadap Khoja Lisut.

Qiamullail malam itu berakhir dengan sembahyang dan doa. Makan dan minum pagi itu disediakan oleh Mat Upeh.

Wang perbelanjaannya dikeluarkan oleh salah seorang penduduk kampung yang menjadi kawan rapat Datuk.

Dia minta Datuk jangan menghebahkan pada para jemaah tentang pemberiannya.

Matahari bersinar lembut, menjamah rerumput di halaman surau. Embun di hujung daun sudah ada yang kering.

Khoja Lisut sudah pun mengenakan pakaian yang rapi. Dia bersedia untuk berangkat ke arah selatan tanah air dan dari situ dia akan berangkat ke Riau.

"Bagaimana, kalau kamu ikut aku balik ke Sumatera, kita boleh ke Binjai, boleh ziarah kubur Kiai yang kau tumbuk dulu," Haji Yatimi mengemukakan cadangan.

"Saya akan datang ke kuburnya sendiri. Saya juga nak ajak anak-anak murid saya kembali ke jalan yang benar."

"Anak-anak murid kamu ramai yang sudah insaf, malah ada yang ke tanah suci untuk mendalami ilmu agama."

"Saya bersyukur dan minta maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan tuan haji, saya nak balik sendirian."

"Aku doakan kamu bahagia," kata Haji Yatimi.

"Aku juga begitu," celah Datuk sambil menghulurkan sesuatu kepada Khoja Lisut. Saya lihat Khoja Lisut terkejut.

"Apa bendanya ni?" tanya Khoja Lisut.

"Untuk tambang dan perbelanjaan kamu balik."

"Terima kasih."

"Selamat jalan Khoja, binalah hidup baru, kalau bertemu jodoh eloklah mendirikan rumah tangga. Aku rasa kamu elok kembali kepada isteri yang kamu tinggalkan.

"Dia sudah tua macam kamu. Nasib baik anak kamu bertanggungjawab pada emaknya."

"Mana tuan haji tahu semuanya ni?"

"Sebelum mencari kamu, aku sudah siasat siapa kamu yang sebenarnya."

Saya lihat ada genangan air jernih di kelopak mata Khoja Lisut. Dia tunduk tersedu untuk beberapa saat.

Bila perasaannya sudah tenang, dia pun bersalam dengan Datuk, saya dan Mat Upeh. Kemudian baru dia memeluk tubuh Haji Yatimi. Pipi mereka bergesel macam orang Arab memeluk tetamu yang tiba.

"Selamat tinggal."

"Selamat jalan," kata kami serentak.

Khoja Lisut pun melangkah dengan tenang meninggalkan kami di halaman surau. Panas makin lama makin terik.

Dan akhirnya, Khoja Lisut hilang dari pandangan kami. Agaknya dia sudah di tepi jalan raya menanti bas untuk ke bandar.

LAUT

Setelah dua minggu Khoja Lisut meninggalkan kami, Haji Yatimi pulang menghilang secara mengejut.

Kehilangannya itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya. Sejak saya mengenalinya, sudah terjalin sebuah kemesraan.

Dia saya anggap sebagai Datuk sendiri. Bertimbang rasa dan memahami perasaan dan yang lebih penting dari semuanya itu, dengan adanya Haji Yatimi Datuk tidak boleh marah sebarangan terhadap saya. Panas baran Datuk terus menurun.

Haji Yatimi, dalam masa terluang banyak mencurahkan ilmu dan nasihat untuk saya. Dia menanamkan rasa tanggungjawab, rasa cinta pada Allah, pada Nabi Muhammad dan agama Islam dalam diri saya.

Dia menyuruh saya menghayati isi Quran dengan mendalam. Dia mengajar tafsir untuk saya.

"Belajarlah Bahasa Arab untuk memahami Al-Quran, kalau tak mampu, cari tafsirnya dalam Bahasa Melayu atau Indonesia. Memahami isi al-Quran besar faedahnya," itulah kata-kata yang sering diucapkan, bila dia melihat saya membaca Al-Quran di surau menjelang waktu sembahyang.

Dan petang itu menurut kiraan saya, sudah masuk hari yang ke sepuluh Haji Yatimi menghilangkan diri. Dan tidak salah jika saya bertanyakan hal itu kepada Datuk.

Tidak mungkin pertanyaan yang bakal saya ajukan itu akan menimbulkan kemarahan Datuk. Lagipun, saya bertanya sesuatu yang baik.

Sebaik sahaja Datuk pulang dari kebun, saya segera mendekatinya. Saya ambil setandan pisang emas yang dijinjingnya. Saya letakkan di atas pelantar.

Kerana saya tahu dia akan mandi untuk membersihkan badannya, saya serahkan kain basahan padanya.

"Kamu ini terlalu baik sangat, tentu ada hajat yang kamu nak minta dari aku," kata Datuk sambil menyambut huluran kain basahan dari saya.

"Tak ada apa-apa," balas saya.

"Hmmm.." suara Datuk mendatar.

Tetapi, senyum sinis yang terukir di bibirnya membuat saya rasa terpukul. Dia bagaikan mengetahui apa yang tersirat di dalam batin saya.

Dan saya tetap bersikap selamba. Datuk pun hayun langkah menuju ke sungai.

"Saya nak tanya Datuk satu perkara."

"Apa dia, Tamar?"

Datuk letak kembali cawan atas talam. Matanya renung ke muka saya. Nenek yang hidangkan minuman petang turut memasang telinga.

"Apa dia Tamar?" ulang Datuk.

"Cukup Tamar, apa yang kau mahu dari Datuk kamu. Kamu nak suruh dia beli motosikal, basikal, cakap sekarang," nenek bergurau, disambut dengan ketawa memanjang oleh Datuk. Saya sekadar senyum sahaja.

Mungkin kerana saya teragak-agak meneruskan pertanyaan, Datuk angkat cawan kopi lalu menghirupnya dengan tenang.

Kemudian, dia mengunyah kuih jemput-jemput hasil dari kerja nenek. Datuk makan dengan penuh selera.

"Saya tak mahu motosikal, saya tak mahu basikal."

"Habis apa yang nak kamu cakapkan dengan Datuk kamu ni? Aku tengok kamu takut-takut aje," nenek seolah-olah mahu saya mengemukakan pertanyaan dengan segera.

"Saya nak tanya tentang Pak.."

"Haji Yatimi?" Datuk segera memintas percakapan saya.

"Iya Tuk."

"Dia tak ada cakap apa-apa dengan kamu?"

"Tak ada tuk," jawab saya seraya menggelengkan kepala.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 132/284

BACA: SBDJ Siri 131: Menggeletek Macam Cicak
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

from SentiasaPanas https://ift.tt/38zct51 via IFTTT
SHARE

Author

Hi, Its me Hafeez. A webdesigner, blogspot developer and UI/UX Designer. I am a certified Themeforest top Author and Front-End Developer. I'am business speaker, marketer, Blogger and Javascript Programmer.

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

loading...