SBDJ Siri 134: Lembaga di Tepi Laut

loading...
"Yang kamu ambil, kayu arang atau buluh?" tanya nenek kepada saya.

"Kayu arang," jawab saya.

"Bukan urusan kamu untuk mengetahui semuanya ini, ini urusan aku," kata Datuk yang secara tiba-tiba memusingkan badannya ke arah saya dan nenek.

Toyol jadi-jadian

Dia bagaikan mengetahui dengan apa yang kami perkatakan. Saya dan nenek berpandangan.

Datuk kembali menghadapkan dada dan wajahnya ke halaman rumah. Kayu arang masih di tangannya. Dengan tenang Datuk mengangkat kayu arang melepasi kepalanya.

"Bukan di sini tempat untuk bergurau. Orang lain boleh diajak main-main. Dengan aku jangan dibuat begitu nanti buruk padahnya.

"Aku tak mencari musuh, pengikut kamu datang jumpa aku dengan niat untuk memisahkan diri dari kamu," tutur Datuk dan kayu arang terus dihumbankan keluar. Nenek menarik nafas lemah.

Saya menggigit bibir dan timbul persoalan dalam diri saya sendiri. Dengan siapa Datuk bercakap?

Di saat saya memikirkan perkara tersebut, terdengar suara menyebut nama Khoja Lisut sebanyak tiga kali berturut.

Semuanya itu kedengaran sayup-sayup, dituruti dengan ketukan di dinding rumah berkali-kali.

Datuk masih juga berdiri di ambang pintu, tidak mahu ambil peduli dengan apa yang didengarnya.

Sebaik saja bunyi ketukan berhenti, saya terdengar bunyi buah mangga muda berguguran ke bumi akibat pohonnya digoncang bertalu-talu.

Pada hemat saya, peristiwa aneh itu terjadi selama lebih kurang lima minit. Setelah itu suasana terasa sepi kembali.

"Iblis tu masih belum puas."

Datuk bergerak dari tempat dia berdiri. Daun pintu dirapatkan. Kunci dan selak dikenakan kembali.

Tiga kali Datuk menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Dimulai dari hujung dagu membawa ke atas, hingga ke hujung dahi.

"Benda-benda yang macam itulah yang saya dengar waktu awak belum balik, kalaulah benda itu merupakan manusia atau binatang, saya tetak dengan golok," sambil berkata-kata nenek menggayakannya sekali.

Melihat telatah nenek itu, secara spontan saya teringatkan pelakon filem Normadiah yang bertarung dalam filem SEMERAH PADI.

Rupanya, saya tidak keseorangan dalam menghadapi kelucuan dari nenek itu. Buktinya, bila saya menoleh ke arah Datuk, dia tersenyum sinis.

"Sudahlah, memang iblis tidak mahu mengaku kalah, dia selalu mengusik dan menakut-nakutkan kita. Sudahlah," Datuk segera menarik tangan saya mengajak ke ruang dapur. Saya segera patuh dengan kemahuannya.

"Kenapa dia sebut nama Khoja Lisut tuk?"

"Itu menunjukkan yang iblis mahu menguasai Khoja Lisut, mahu memperdayakan Khoja Lisut supaya masuk ke dalam kekuasaannya, walaupun dia tahu Khoja Lisut sudah kembali ke pangkal jalan," demikian Datuk menjelaskan kepada saya. Penjelasan itu dapat saya terima.

HIDANGAN

Semasa menghadapi hidangan makanan, nenek mengulangi pertanyaan yang telah saya ajukan kepada Datuk.

Jawapannya, sama seperti apa yang Datuk ucapkan kepada saya sebentar tadi.

Nenek pun tidak mengemukakan soalan susulan. Tetapi, dari gerak-geri yang ditunjukkan oleh nenek dia tidak puas hati dengan apa yang Datuk tuturkan kepadanya.

"Tak puas hati dengan jawapan saya?" Datuk menduga.

"Tidak."

"Kenapa pula?"

"Jawapannya macam melepaskan batuk di tangga."

"Habis apalagi yang mahu saya terangkan, syaitan hanya berani pada orang yang takut."

"Hum..." suara nenek terkulum dan dia terus menyuapkan nasi ke mulutnya.

Suasana selanjutnya tidak diganggu oleh sebarang pertanyaan. Kami terus makan dengan tenang hingga selesai.

Sebenarnya, hati saya ingin mengetahui misteri yang terjadi secara terperinci. Tetapi, saya takut mengemukakan pertanyaan. Takut kena marah dan kena herdik.

Macam biasa, bila selesai makan masing-masing membawa diri. Nenek dengan tugasnya di dapur, saya berkubang dalam bilik membelek dan membaca novel-novel ringan dan majalah-majalah lama.

Datuk tetap dengan kegemarannya membaca kitab yang ada hubung kaitnya dengan hal-hal keagamaan hingga tertidur.

Bila terjaga waktu tengah malam, Datuk terus melakukan sembahyang tahajud dan akhirnya membaca Quran hingga menjelang waktu Subuh.

Mungkin kerana kekenyangan atau keletihan saya terus tertidur tanpa memadamkan lampu.

Tidur saya yang nyenyak itu berakhir, bila tubuh saya digoncang bertalu-talu. Perlahan-lahan saya bukakan kelopak mata.

"Kenapa tuk."

"Aku dah sembahyang Subuh, terlupa nak kejutkan kamu."

"Iya, saya bangun sekarang."

"Cepat mandi dan ambil wuduk," tutur Datuk bila melihat saya melangkah agak lambat menuju ke perigi.

Memang kalau boleh ingin saya meneruskan tidur. Bila sudah dikejutkan oleh Datuk memanglah mustahil untuk saya lanjutkan perbuatan itu.

Selalunya, saya menunggu Datuk sembahyang tetapi, kali ini Datuk terpaksa menunggu saya. Memang terasa lucu bila Datuk menunggu cucu.

Kerana menyedari diri dalam perhatian Datuk, terus saja saya berusaha dengan sebaik mungkin membetulkan pembacaan mengikut hukum tajwid.

Bila pembacaan saya tidak betul atau tidak lancar, Datuk segera menegur dengan cara yang paling sopan sekali.

Datuk batuk kecil berulang kali, bila perkara begitu terjadi fahamlah saya tujuan sebenar Datuk.

Terus terang saya katakan, apa yang Datuk lakukan itu kurang menyenangkan hati saya.

Setelah memberi salam, saya menarik nafas kelegaan. Tidak ada sebarang komen dari Datuk.

Saya pun membuat kesimpulan bahawa pembacaan saya betul, rukun sembahyang lengkap, tidak ada yang salah. Saya pun segera bangun.

"Nanti dulu, Tamar."

"Kenapa tuk?"

"Kenapa kamu tidak berdoa, Tamar?"

"Masa dah suntuk tuk, sebelum berdoa mesti berwirid, ini memakan masa tuk, saya tahu tuk nak pergi cepat."

"Satu tanggapan yang silap," kata Datuk dan saya terus kerutkan kening dalam suasana Subuh yang damai.

DETIK

Buat beberapa detik, saya dan Datuk tidak berkata apa-apa. Kami saling berpandangan dan saya tetap mengharapkan Datuk memberi alasan yang kukuh kenapa dia berkata demikian. Dua tiga kali saya lihat Datuk menggaru pangkal dagunya.

"Nabi Muhammad, pernah berkata berdoalah setelah sembahyang, ertinya setelah memberi salam kita boleh terus berdoa meminta berkat dari Allah yang Maha Besar," tutur Datuk dengan tenang.

"Tapi biasanya bila kita sembahyang berjemaah, kita berwirid dulu ikut Pak Imam sebelum berdoa," tanya saya.

"Perbuatan itu tidak salah, kalau tak mahu ikut Pak Imam berdoa pun tak mengapa, kita berdoa sendiri. Bila kita dah berjemaah eloklah ikut Pak Imam."

"Begitu," kata saya lemah.

"Macam kamu ni, kalau ada masa memang eloklah kamu berwirid sebelum berdoa, kerana tak cukup masa, kamu terus saja berdoa. Satu perkara yang mesti Tamar..." Datuk tidak meneruskan percakapannya, dia gosok pangkal hidungnya berkali-kali.

"Apa dia perkara yang tuk nak cakap dengan saya," soal saya tanpa sabar.

Hati saya semakin resah, Datuk buat tidak kisah dengan pertanyaan saya itu. Dia terus meraba-raba hujung dagunya pula.

"Apa dia tuk?" susul saya lagi.

"Oh, iya kita cakap fasal apa tadi Tamar?"

"Fasal doa tuk."

"Iya aku ingat sekarang. Begini Tamar, satu perkara yang mesti tu, maksudnya begini, sebaik-baiknya cuba amalkan selepas sembahyang terus berdoa. Itu perbuatan yang baik, tanda kita berterima kasih pada Allah," begitu lembut nada suara Datuk menuturkan kata nasihat.

"Saya cuba buat, apa yang tuk suruh," saya lahirkan sebuah ikrar di depannya.

Hasil yang saya perolehi, sebuah senyuman terpamer di kelopak bibir Datuk.

"Bagus Tamar," dengan manja Datuk menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Gelombang ria beralun dalam danau hati saya.

"Engkau tahu Tamar," cetus Datuk lagi.

"Terlalu banyak nikmat yang kita terima dari Allah, tetapi terlalu sedikit tanda kesyukuran yang kita berikan kepada-Nya."

Saya anggukkan kepala, setuju dengan apa yang Datuk tuturkan. Dengan ekor mata saya jeling ke wajah Datuk. Ternyata wajah Datuk nampak hiba penuh keinsafan.

Melihat Datuk berkeadaan demikian, saya amat terharu. Buat beberapa ketika suasana terasa amat hening sekali.

Perlahan-lahan Datuk bangun lalu melangkah ke jendela. Daun jendela dibuka, Datuk melihat ke dada langit. Kemudian daun jendela dirapatkan kembali.

"Sekarang kita berangkat, Tamar."

Datuk segera masuk ke kamarnya dan keluar dengan pakaian serba hitam. Datuk membalut kepalanya dengan songkok putih.

"Nampaknya tuk mahu berjalan jauh?" tanya saya.

"Kenapa kamu bercakap begitu Tamar?"

"Biasanya, kalau dah pakai serba hitam, mesti ada sesuatu yang mahu tuk buat."

Pertanyaan yang saya ajukan itu membuat Datuk mengerutkan kening. Dia senyum panjang dengan sepasang mata tajamnya menyorot wajah saya.

"Aku tak pergi jauh, aku nak pergi ke Teluk Senangin, menunaikan janji aku dengan Haji Yatimi, memang sudah menjadi kebiasaan aku kalau ke Teluk Senangin mesti berpakaian begini, lebih-lebih lagi bila ada Haji Yatimi," Datuk memberi penjelasan.

Datuk tidak memberi peluang kepada saya untuk mengemukakan sebarang pertanyaan.

Dia menggesa saya supaya menukar pakaian dengan segera, sekiranya saya berhasrat mahu menemaninya ke Teluk Senangin.

Tergesa-gesa saya sarung seluar kuning ke tubuh. Rambut saya sikat tanpa membuat jambul di dahi.

"Sudah siap Tamar?"

"Sudah tuk."

"Beritahu nenek, kita nak pergi,"

Saya segera mendapatkan nenek. Bila saya mendekati Datuk semula saya lihat pintu sudah dibuka dan Datuk sudah pun berdiri di ambang pintu.

"Mari cepat."

Saya segera berlari ke arahnya lalu turun. Sebaik saja saya berada di halaman, sebelum memulakan langkah saya toleh ke arah pintu rumah. Saya lihat pintu itu tertutup sendiri.

Siapa yang menutupnya, barangkali nenek yang melakukannya, saya membuat kesimpulan sendiri.

PERJALANAN

Saya kepenatan, langkah Datuk cukup pantas. Saya harus mengimbangi langkahnya, kalau lambat saya terus ditinggalkan.

Akibat langkah yang pantas itu, rasa dingin Subuh bagaikan tidak terasa, seluruh tubuh saya berpeluh dengan cepat. Rasa mengantuk dan lesu terus hilang.

Sepanjang perjalanan itu, Datuk tidak bercakap, kecuali kalau ada sesuatu maklumat yang mahu disampaikan kepada saya.

Biasanya maklumat itu Datuk kesan menerusi keadaan alam sekeliling seperti bunyi deru angin, kicau burung dan bunyi geselan dedaun.

Andainya bunyi itu agak luar biasa, Datuk segera memperingatkan saya supaya berhati-hati.

Setelah melintasi sebuah bukit kecil dan belukar yang ditumbuhi pepohon renek, saya dan Datuk pun sampai ke kawasan pantai.

Deru ombak jelas kedengaran dan angin laut terasa menyentuh kulit muka, agas mula menggigit kulit tubuh yang terdedah.

Saya dan Datuk rapat ke gigi pantai. Serentak kami merenung ke arah sebuah teluk yang berada di bahagian utara pantai.

"Macam ada orang di situ, tuk."

"Iya, aku juga nampak begitu," nada suara Datuk agak lemah.

Matanya tidak berkedip melihat ke arah sekujur tubuh manusia yang berpakaian serba putih sambil memeluk tubuh. Wajahnya dihadapkan ke arah laut lepas.

Angin laut yang bertiup agak kencang membuat tubuh saya kedinginan.

"Kita ke situ Tamar."

Saya keberatan untuk memulakan langkah. Saya masih ragu-ragu apakah lembaga putih yang kelihatan samar-samar di hujung teluk itu manusia atau sebaliknya.

"Tuk yakin itu Haji Yatimi."

"Iya, aku yakin tapi..." Datuk tidak meneruskan kata-kata.

Dia agak keberatan untuk memulakan langkah pertama, dahinya nampak berkedut dan dari raut wajahnya, saya yakin Datuk sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

Datuk renung muka saya sambil berkata, "Haji Yatimi jarang berpakaian serba putih. Ah! Walau macam mana pun mari kita tengok."

"Tapi tuk."

"Tak usah banyak tapi lagi, mari ikut aku. Kita bukan nak cari musuh. Kalau Haji Yatimi kita bersyukur pada Allah, kalau bukan kita minta maaf saja pada yang terbabit."

Saya masih keberatan, kaki terasa amat berat untuk mengatur langkah. Hati pula menggelabah tidak menentu.

Melihat saya tidak memperlihatkan sebarang reaksi, Datuk segera memegang pergelangan tangan kanan saya.

"Mari Tamar."

Saya tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan mengikut saja perintah dengan rela.

Bila Datuk sudah yakin yang saya tidak akan ke mana-mana, barulah pergelangan tangan saya dilepaskan.

Saya tidak dapat berjalan dengan pantas atas pasir pantai, sering kali kaki saya terpijak dahan dan ranting kering.

Ada kalanya saya tersasul memijak pasir pantai yang berair, akibatnya kaki dan selipar saya terbenam dalam pasir.

Kesukaran yang dihadapi terpaksa ditanggung sendiri. Tidak ada gunanya mengeluh atau mengadu kepada Datuk.

Dia bukan simpati dengan apa yang dialami, malah tanpa usul periksa dia terus mengherdik saya. Daripada kena tengking lebih baik tanggung susah.

Lebih kurang dalam jarak dua rantai mahu sampai ke kawasan teluk tersebut, saya dapati manusia yang berpakaian serba putih sudah ghaib entah ke mana.

"Tuk, benda tu dah hilang."

"Tidak, masih ada di situ."

"Saya tak nampak tuk," tutur saya cemas.

"Aku nampak dia masih di situ."

Saya terdiam dan menarik nafas panjang. Dua tiga kali saya gosok kelopak mata. Hasilnya tetap sama, manusia berpakaian serba putih memang tidak ada di situ. Ternyata penglihatan saya dengan Datuk berbeza.

"Tamar, kita tunggu di sini," kata Datuk.

"Baiklah tuk."

Saya terus duduk atas batang kelapa tumbang yang bahagian hujung pucuknya terendam dalam laut.

Di kaki langit, saya melihat ada warna kemerah-merahan yang membawa alamat, tidak lama lagi matahari akan muncul. Saya merenung ke tengah laut yang dikuasai kabus nipis.

"Orang tadi ke mana perginya tuk."

"Entah aku tak tahu, lagi pun bukan urusan kita nak mencarinya. Kita tak ada urusan dengannya, kalau dia nak berurusan dengan kita, dia datanglah jumpa kita."

"Hum..." kata saya pendek.

Saya jadi bingung dengan tindak-tanduk Datuk itu. Dia bercakap macam orang bodoh. Sebentar tadi dia mengatakan orang berpakaian putih itu ada di situ.

Tetapi, sekarang lain pula cakap, seolah-olah lembaga yang kelihatan berpakaian putih itu adalah makhluk asing.

Dengan tiba-tiba saya bulu tengkuk saya meremang. Saya jadi cemas dan takut.

KANAN

"Assalamualaikum..."

Saya segera menoleh ke kanan, ke arah suara itu datang. Apa yang saya lihat ialah sekujur tubuh Haji Yatimi berdiri di bahagian pangkal perdu kelapa yang tumbang.

Dia membalut tubuhnya dengan jubah warna hijau, serbannya juga berwarna hijau. Haji Yatimi menghadiahkan senyum kepada saya. Senyuman itu segera saya balas.

Haji Yatimi mengalihkan pandangannya ke arah Datuk. Mereka bertukar senyum, bersalaman dan berpelukan.

"Dah lama sampai?"

"Baru, ada kira-kira lima minit."

"Saya terlambat kali ini, selalunya saya menanti awak tetapi, kali ini terbalik pula, awak menanti saya," Haji Yatimi mengakhiri kata-katanya dengan ketawa kecil.

Datuk juga turut ketawa, saya masih lagi merenung ke arah ombak yang memukul pantai, iramanya amat menyenangkan hati saya.

Tiba-tiba saya terfikir, bagaimana Haji Yatimi mahu memijak bumi Pulau Sumatera, bagaimana dia mahu menyeberangi Selat Melaka tanpa kapal atau perahu.

Mungkin dia berenang? Itu perbuatan yang mustahil. Haji Yatimi pasti tidak mampu melawan ombak.

Barangkali Haji Yatimi mampu berjalan atas ombak? Macam-macam yang timbul dalam kotak fikiran saya.

"Tolong saya tolak perahu," kata Haji Yatimi kepada Datuk.

"Boleh, di mana awak sembunyikan perahu awak," soal Datuk dengan nada suara yang tenang.

"Di sana, mari ikut saya."

Datuk terus mengekori langkah Haji Yatimi menuju ke arah rumpun kecil.

Haji Yatimi dan Datuk segera menguak dedahan dan dedaunan rimbunan pepokok kecil. Mereka menarik perahu atas dada pasir dan akhirnya menolak ke laut.

Saya segera berlari mendekati perahu yang terumbang-ambing di main gelombang.

"Dengan perahu ni nak balik ke Solok," tanya saya kepada Haji Yatimi.

"Iya, kenapa Tamar."

Saya teliti perahu itu dari pelbagai sudut. Saya kurang percaya dan yakin dengan perahu sekecil itu, Haji Yatimi boleh menyeberangi Selat Melaka.

Lagipun keadaan papan perahu sudah lapuk, bila dipukul ombak kencang boleh pecah. Paling mengejutkan saya ialah pendayung perahu dibuat dari batang nipah.

"Dengan perahu ni nak balik ke Solok?" saya renung muka Haji Yatimi. Dia tersenyum dan terus menepuk bahu saya beberapa kali.

"Iya, kenapa Tamar."

"Saya tak yakin."

"Kamu ni, kenapa cepat bercakap macam tu, aku sudah berbelas kali berulang-alik dari Solok ke sini dengan perahu ni. Kalau sudah janji aku dengan Allah, mahu mati karam di laut, aku terima saja.

"Bukankah kita ni hamba-Nya, kita berusaha dengan sedaya upaya, yakin dengan kebesaran-Nya dan kepada-Nya kita minta tolong," begitu bersemangat Haji Yatimi menuturkan kata-kata kepada saya.

"Kau faham apa yang tuan haji katakan kepada kamu," susul Datuk sambil merenung batang hidung saya dengan tajam. Saya segera anggukkan kepala.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 134/284

BACA: SBDJ Siri 133: Rahsia Mula Ketara
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

from SentiasaPanas https://ift.tt/2Q6hlbl via IFTTT
SHARE

Author

Hi, Its me Hafeez. A webdesigner, blogspot developer and UI/UX Designer. I am a certified Themeforest top Author and Front-End Developer. I'am business speaker, marketer, Blogger and Javascript Programmer.

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

loading...