Kisah Wabak Justinian Yang Meragut Nyawa Sahabat Rasulullah SAW

loading...
Dalam lipatan sejarah manusia, tidak sah jika tamadun-tamadun manusia diuji dengan pelbagai cabaran dari peperangan hinggalah penularan wabak penyakit dan antara penularan wabak paling berbahaya dalam sejarah ialah Black Death, Flu Sepanyol, Wabak Justinian dan Covid-19.

Wabak Justinian

Wabak Justinian atau 'Plague of Justinian', walaupun hanya berlangsung selama setahun dari 541 hingga 542 Masihi, ia memberikan kesan besar bukan sahaja kepada Rom Timur (Byzantine) tetapi juga kepada kebangkitan kerajaan Islam Madinah hampir seabad kemudian.

Dan wabak Justinian ini juga ada kaitan dengan kisah dua sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal.

Wabak Justinian

Wabak yang dinamakan sempena nama Maharaja Justinian I ini sebenarnya berkongsi asal-usul sama dengan wabak Black Death, Yersinia pestis.

Kajian para saintis mendapati ia sebenarnya berasal dari Asia Tengah dan dibawa oleh puak-puak nomad yang kemudiannya menjadi ejen penyebar wabak berkenaan di Eurasia Barat.

Wabak Justinian turut mencipta sejarah sebagai wabak pertama yang direkodkan, disokong oleh keterangan-keterangan klinikal wabak dalam rekod sejarah dan kesan DNA Y. pestis dari rangka-rangka manusia yang dijumpai dalam tempoh berkenaan.

Berdasarkan rekod sejarah, tanda-tanda Wabak Justinian bermula dengan demam biasa, disusuli oleh bengkak dan lepuhan-lepuhan berwarna hitam berisi dengan nanah, yang merupakan tanda-tanda jelas seseorang itu dijangkiti wabak.

Akibatnya, seseorang itu akan koma dan mati dalam masa yang cepat. Tetapi jika tidak, individu yang dijangkiti akan berada dalam keadaan meracau dan paranoia serta ingin membunuh diri bagi mengakhiri penderitaan mereka.

Semua ini berlaku dalam tempoh beberapa hari dan ia biasanya meninggalkan lambakan mayat yang sukar diuruskan oleh orang ramai.

Justeru, ada yang membawa tag nama di tangan atau jari agar mudah dikenali anggota keluarga sekiranya mati di luar kediaman mereka.

Kesan kepada empayar dan kerajaan sekitar

Berikutan jumlah kematian yang terlalu ramai, ini memaksa Empayar Rom Timur menjadi kreatif dalam menguruskan mayat.

Antara cara yang digunakan ialah menggali parit untuk dijadikan kubur besar, dicampak ke dalam laut (selalunya kembali semula ke pantai) atau dicampak ke menara kubu sebelum ditutup di bahagian atas.

Selalunya, rawatan dilakukan oleh doktor yang dilatih dengan ilmu perubatan Galen selama empat tahun di Iskandariah yang ketika itu merupakan pusat pengajian perubatan terulung.

Bagi penduduk yang tidak mendapat rawatan perubatan, mereka menggunakan ramuan ubatan sendiri sebagai penawar.

Wabak Justinian tidak mengenal mangsanya. Justinian I sendiri turut menjadi mangsa wabak ini bersama kerabat diraja dan pembesar-pembesar Byzantine.

Namun pada akhirnya, baginda terselamat tetapi 25% rakyatnya terbunuh akibat Wabak Justinian, menjejaskan kedudukan kewangan empayar dan ketenteraan negara.

Punca Wabak Justinian

Wabak ini dikatakan bermula di Constantinople akibat tikus-tikus yang menaiki kapal-kapal yang membawa gandum dari Mesir.

Ini kerana, sejak abad kelapan Masihi lagi, wilayah Afrika Utara terutamanya Mesir merupakan pembekal utama gandum kepada kerajaan Rom, sama ada Rom Barat atau Byzantine.

Memandangkan gandum merupakan makanan ruji kerajaan ketika itu, ia dibawa ke seluruh empayar bersama-sama dengan tikus dan kutu pembawa penyakit.

Laporan pertama Wabak Justinian dilaporkan oleh sejarawan Procopius dari bandar pelabuhan Pelusium berhampiran Suez, Mesir pada tahun 541.

Sebelum laporan wabak ini, Procopius turut mendedahkan situasi iklim luar biasa yang melanda selatan Itali ketika itu.

Ini sekali gus mencetuskan krisis kekurangan makanan yang meruncing di Rom Timur dan diburukkan lagi dengan penyebaran Wabak Justinian yang menyebabkan ramai petani mati atau tidak berupaya turun ke ladang-ladang untuk menuai hasil tanaman.

Selain krisis kekurangan makanan, ia juga turut merencatkan cita-cita baginda menyatukan semula semua bekas wilayah Rom Barat dengan empayar baginda untuk mengembalikan kegemilangan Empayar Rom.

Selain Empayar Byzantine, kerajaan-kerajaan Eropah lain turut terkesan dengan Wabak Justinian.

Misalnya di Britain, penularan wabak ini memudahkan usaha pendudukan kelompok Anglo-Saxon ditambah dengan gerakan penentangan Saxon pada tahun 550-an.

Di Wales pula, antara yang menjadi mangsa Wabak Justinian ialah raja kerajaan Gwynedd, Maelgwyn sekitar tahun 547 Masihi.

Manakala di Ireland, wabak ini memberi kesan besar kepada populasi negara berkenaan.

Wabak Justinian – fatwa dua sahabat

Siapa sangka Wabak Justinian yang meragut jutaan nyawa pada abad keenam Masihi ini menjadi punca dua sahabat Nabi yang mulia mengaplikasikan pengetahuan mereka berkenaan wabak.

Jika diteliti sejarah yang direkodkan oleh perawi-perawi sejarah seperti Ibnu Hisyam dan Imam al-Tabari, wabak-wabak sebegini hanya dirujuk sebagai taun.

Namun, tidak mustahil taun hanyalah panggilan umum kepada wabak penyakit yang melanda sesebuah komuniti dan tempat.

Kisah Masyhur Dua Sahabat Tentang Cara Pengurusan Wabak

Pertama, kisah Umar membatalkan lawatannya ke Syam selepas mendapat tahu wilayah tersebut dilanda wabak (berkemungkinan Wabak Justinian).

Apabila berita tersebut diketahui Abu Ubaidah r.a., beliau mengirim surat yang menanyakan apakah Amirul Mukminin (Umar) melarikan diri dari takdir Allah.

Lalu Umar r.a menjawab, "Aku lari dari satu takdir Allah ke satu takdir-Nya yang lain."

Beliau turut memetik satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. mafhumnya, "Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa." (Riwayat Bukhari)

Kedua, tidak lama selepas pembatalan lawatannya ke Syam, Umar r.a. tahu sudah tiba masanya untuk melantik penggantinya sebagai khalifah dan beliau tahu siapa yang dimahukannya iaitu Abu Ubaidah.

Abu Ubaidah r.a. menjadi pilihan bukan saja kerana kecekapannya menguruskan jentera perang Madinah malah, beliau juga dianggap pemegang amanah bagi umat baginda, satu gelaran kehormat yang diberi Rasulullah SAW kepadanya.

Tetapi malangnya, situasi wabak sama yang melanda Syam masih belum reda dan salah seorang yang terancam ialah Abu Ubaidah sendiri.

Mendengar perkhabaran itu, Umar r.a. menulis sepucuk surat dan memerintahkannya pulang ke Madinah.

Namun, hajat sahabatnya itu ditolak dengan baik oleh Abu Ubaidah atas alasan enggan meninggalkan tentera Madinah yang berkhidmat di perbatasan dan rakyat yang menderita serangan wabak.

Malah, Abu Ubaidah r.a. turut memetik satu lagi hadis untuk menjelaskan sebab beliau perlu kekal di Syam.

"Apabila kamu mendengar penyakit taun melanda sesebuah negeri, maka janganlah kamu memasuki negeri itu. Demikian juga jika ia berjangkit di negeri yang kamu tinggal, maka janganlah kamu keluar dari negerimu kerana melarikan diri dari penyakit itu." (Riwayat Bukhari)

Keputusan tersebut akhirnya membawa kepada kematiannya pada tahun 639 Masihi, pemergian yang ditangisi bukan saja oleh para sahabat lain, bahkan oleh tentera dan rakyat yang menyanjung pemerintahannya.

Wabak Amwas

Dalam catatan Arab juga ada menceritakan bagaimana para sahabat hidup dan berani menghadapi penularan wabak dengan menentangnya atas nama tauhid, tidak semata-mata berserah atas nama 'takut kepada Allah' sahaja.

Para sahabat ketika itu percaya, asas kepada agama adalah memelihara nyawa dan menjaga nilai-nilai manusiawi dan sivil sebuah masyarakat Islam yang melengkapi kehidupan mereka dengan pengetahuan, usaha, doa dan tawakal kepada Allah ketika menghadapi bencana wabak.

Sebahagian cendekiawan dan sarjana Islam juga pernah menempuh kehidupan ketika tibanya endemik yang dinamakan Wabak Amwas (dipanggil juga Taun), kerana berasal dari kota kecil itu yang kini terletak dalam Palestin moden.

Abu Aswad Al-Duwali, seorang Parsi yang merupakan antara pelopor asas ilmu sastera dan bahasa Arab yang terkemuka, misalnya telah meninggal dunia akibat taun.

Ketika wabak taun melanda, Ibn Hajar Al-Asqalani, seorang ulama fiqh diceritakan telah kehilangan bukan seorang, tetapi tiga orang puterinya kerana wabak taun tersebut.

Mereka ialah Fatimah, Aliyyah dan puteri sulung yang ketika itu sedang hamil iaitu Zin Khatun.

Namun, apa yang Al-Asqalani lakukan bagi mengisi kekosongan akibat kematian anaknya menginsafkan kita.

Beliau telah menulis kitab tentang amalan kebersihan dan kesihatan untuk rujukan ilmu perubatan.

Al-Asqalani menulis kitab "Badzl Al-Ma'un Fi Fadhl Al-Tha'un" dan karyanya ini telah digunakan dalam kajian oleh Ahmad Isham Abdul Qadir yang padanya mengulas perincian tentang jenis-jenis wabak termasuk taun dan Black Death, menghimpunkan pandangan ahli perubatan, cara mencegah dan amalan kebersihan bagi menghindari wabak-wabak ini.

Malah, kitab tersebut turut menggariskan hukum syahid bagi mangsa wabak serta bagaimana sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang Muslim ketika menghadapi kesukaran dan bencana wabak.

Sesungguhnya, mereka ini jauh dari sekadar berserah dan menjadi pasrah hanya menyerah pada takdir-Nya.

Pandangan dan sikap rasional dalam beragama sebegini turut menjadi amalan ramai lagi ilmuwan Islam.

Cara mereka menghadapi dan menangani bencana wabak wajar terus menjadi contoh kepada kita selaku umat Islam yang wajib patuh pada suruhan dan akur pada larangan Allah dan Rasulullah.

Dan jika ada yang menyangka wabak ini merupakan pengakhiran kepada bakteria Y. pestis, sangkaan mereka tersilap sama sekali.

Enam abad selepas itu, Black Death yang mengandungi virus Yersinia Pestis kembali dengan dendam membara.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

from SentiasaPanas https://ift.tt/3b9Jvel via IFTTT
SHARE

Author

Hi, Its me Hafeez. A webdesigner, blogspot developer and UI/UX Designer. I am a certified Themeforest top Author and Front-End Developer. I'am business speaker, marketer, Blogger and Javascript Programmer.

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

loading...