SBDJ Siri 142: Gadis Jelita Jilat Darah

loading...
Melihat keadaan yang ngeri dan menakutkan itu, saya segera membaca surah AL-IKHLAS sebanyak tiga kali berturut-turut. Saya segera melompat dari atas katil untuk keluar. Saya terlanggar dinding dan terus jatuh.

SBDJ siri 139

Saya kembali berada di alam nyata, seluruh badan saya berpeluh. Perlahan-lahan saya bangun dan terus melangkah ke arah meja bulat yang ada pedang samurai di atasnya.

Dengan tidak diduga, darah saya tersirap dan badan terus menggeletar. Pedang samurai terkeluar dari sarungnya. Ada kesan darah segar di mata pedang.

Barang-barang lain yang berada di atas meja, tidak berubah kedudukannya. Tetap seperti tadi.

Bagaimana mata pedang boleh terkeluar dari sarungnya? Timbul pertanyaan dalam hati. Saya terus mengamati ulu pedang, tidak ada kesan telapak tangan manusia.

Dalam keadaan yang serba tidak menyenangkan itu, saya terasa seperti ada bayang-bayang manusia bergerak dalam bilik tidur.

Seperti biasa, saya cuba mengawal perasaan supaya jangan menggelabah. Menepis rasa takut dari hati.

Kerana yakin apa yang sedang saya alami ini, ada hubung kaitnya dengan syaitan, saya segera membaca ayat-ayat suci untuk menghalang niat jahat makhluk halus itu dari mengganggu saya.

Semakin di-baca, semakin kuat rasa debaran dan kecemasan bergolak dalam dada. Saya rasakan bilik tidur seperti berada di awang-awangan, badan saya seperti bergerak di udara.

Pada saat itu juga, saya bagaikan terlihat mayat tanpa kepala berada di hujung kaki saya. Dari bahagian leher yang kudung keluar membuak darah merah bersama tompok-tompok ulat, manakala perutnya terbelah sendiri, segala urat dan usus terlambak atas lantai.

Paling mengejutkan mayat tanpa kepala itu bangun sendiri. Kerana tidak sanggup melihat semuanya itu, saya alihkan mata ke kaki katil, pandangan yang mengerikan tetap wujud di depan mata.

Ketika ini, saya tidak dapat mengawal perasaan, pembacaan ayat-ayat suci mula bercelaru dan menjadi kacau. Keimanan, kesabaran dan ketabahan saya benar-benar tergugat.

Bagaimana tidak tergugat? Di kaki katil tergolek kepala tanpa rambut, kesan luka di tempurung kepala penuh dengan ulat-ulat kecil.

Beberapa ekor ulat jatuh atas lantai dan melompat kembali ke tempurung kepala lalu bergayutan pada kulit kepala yang terkoyak.

"Subhanallah..." terungkap kata itu dari kelopak bibir.

Saya lihat kepala tanpa badan berpusing sendiri, menghalakan bahagian muka ke arah saya.

Pada saat itu timbul dalam fikiran untuk mengambil lampu minyak tanah yang tidak digunakan di bawah meja bulat (lampu minyak tanah memang disediakan untuk kegunaan di masa kecemasan, umpamanya bekalan elektrik terputus, akibat kerosakan enjin dan sebagainya).

Saya merancang mahu simbah minyak tanah yang ada dalam pelita ke kepala tanpa badan, kemudian nyalakan api.

Apa yang ada dalam kotak fikiran, tidak dapat dilaksanakan. Sepasang kaki saya terasa lemah, kepala lutut bagaikan tiada.

Saya tidak terdaya mengerakkan kaki apatah lagi untuk melangkah.

Memang tidak ada pilihan lain untuk saya. Sama ada mahu atau tidak saya terpaksa melihat apa yang ada di kaki katil.

Aduh! Seramnya melihat daging pipi yang ada di kaki katil.

Aduh! Seramnya melihat daging pipi yang sudah hancur bercampur dengan darah dan nanah, bergerak perlahan-lahan dan kelihatan macam susu pekat yang dituangkan ke atas roti.

Dari daging yang sudah sebati dengan darah dan nanah muncul lagi beratus-ratus ekor ulat kecil yang bentuknya sama macam ulat nangka berwarna kekuning-kuningan.

Baunya amat busuk sekali, membuat tekak terasa loya. Lidahnya yang terjelir dari mulut mengeluarkan cecair berwarna putih.

Lidah itu sekejap terbuka dan sekejap tergulung. Dari lubang mata yang terlopong, kelihatan seperti ada sebutir batu yang mengeluarkan cahaya kebiru-biruan.

Dari lubang telinga keluar air jernih seperti air mata air lalu melimpah ke atas lantai, kemudian hilang entah ke mana. Bagaikan ada kuasa ghaib yang menghisapnya.

BELAKANG

Saya terasa seperti ada orang berdiri di belakang saya. Cepat-cepat saya menoleh.

Seorang tentera Jepun dengan wajah yang bengis mengangkat pedang samurai untuk memancung leher saya.

Dan saya menjeling ke arah meja bulat untuk memastikan apakah pedang yang berada di atas meja sudah berada di tangan tentera Jepun.

Lagi sekali saya terkejut, pedang samurai itu memang tiada lagi atas meja bulat. Saya bertambah cemas.

Apa yang patut saya lakukan, mustahil saya mampu menentang Jepun yang berdiri di belakang saya.

Suara marah-marah dari tentera Jepun itu terus menyumbat lubang telinga saya.

Pada saat itu saya rasakan mata pedang samurai hanya dalam jarak beberapa inci dari batang leher.

Demi untuk meneruskan hidup saya harus bertindak, walau dengan apa cara sekalipun.

"Yaaaa..." saya menjerit dan melompat.

Dan dalam masa yang sama saya terdengar bunyi pedang samurai jatuh di lantai diikuti dengan sepatu tentera Jepun lari menuju ke pintu bilik.

"Kenapa menjerit?"

Lelaki berambut panjang tercegat di depan mata. Saya jadi ragu-ragu atas kehadirannya.

Bagaimana dia begitu cepat boleh berada di dalam bilik, sedangkan dia berada jauh di bahagian atas bot?

Mungkin apa yang saya lihat dan alami ada hubung kait dengannya.

"Macam mana kamu masuk?" tanya saya.

"Ikut pintu yang kamu buka."

"Saya yang buka?"

"Iya."

"Pelik sungguh," kata saya.

Si rambut panjang terus tersenyum. Rasa sangsi terhadapnya kian menebal di hati. Saya renung matanya yang kemerah-merahan itu.

Dia masih tersenyum dan kelihatan tenang sekali. Saya gigit bibir sambil menarik nafas panjang.

Pedang samurai sudah pun berada di atas meja bulat. Dahi segera saya kerutkan, sesungguhnya saya amat bingung dengan suasana yang saya hadapi ini.

"Mari kita keluar, kita tinggalkan bilik ni," ujar si rambut panjang.

Memastikan keadaan dalam bilik tetap macam biasa. Lampu bilik pun dipadamkan.

"Semuanya mesti macam sebelum kamu datang ke sini, itu pesan juragan kepada aku," kata si rambut panjang sambil merapatkan pintu bilik.

Dengan perlahan-lahan dan hati-hati si rambut panjang mencantumkan dinding bot yang terpisah dengan serapat-rapatnya, sehingga tidak seorang pun menyangka di balik dinding yang dijadikan rak tempat alat-alat keperluan bot itu, terdapat sebuah bilik misteri.

"Kenapa menjerit, macam ada yang ganggu kamu?" si rambut panjang renung muka saya.

Cepat-cepat saya anggukkan kepala. Si rambut panjang terus mengajak saya ke arah tangga untuk naik ke atas bahagian bot.

DUDUK

Sampai di tangga, saya terus duduk di situ. Hati masih belum puas, selagi tidak diceritakan apa yang dialami kepada si rambut panjang. Barangkali, dia dapat membantu saya dalam usaha mencari punca kejadian yang dialami, fikir saya dalam hati.

"Kenapa berhenti di sini?"

"Fikiran saya runsing."

"Runsing?" si rambut panjang menjegilkan matanya lalu duduk di sisi.

Deru angin laut dan bunyi desir ombak masih dapat ditangkap oleh gegendang telinga. Sesekali terdengar Datuk batuk pendek.

Suara Nyak Sulaiman tetap lantang mengingatkan pemandu bot supaya berhati-hati.

"Apa yang kamu runsingkan, cakapkan kepada aku."

"Mungkin kamu tak percaya, bila aku ceritakan pada kamu. Mungkin kamu gelakkan aku."

"Apa dia, cakaplah?" desak si rambut panjang.

"Pedang samurai bergerak sendiri, ada mayat yang kepalanya terpisah dengan badan, ada askar Jepun nak pancung aku," dengan suara tersangkut-sangkut saya bercerita.

Badan terasa seram dan bulu roma mula meremang. Si rambut panjang tidak menunjukkan reaksi cemas atau takut, malah dia kelihatan tenang dan tersenyum panjang.

Sudah tentu sikapnya ini menimbulkan bermacam-macam prasangka dalam diri saya.

"Kalau tak salah dalam ingatan aku, kamu orang ketiga terkena malapetaka tu," secara spontan si rambut panjang bersuara. Lagi sekali saya beliakkan biji mata.

"Siapa lagi dua orang tu?"

"Adik juragan dan bapa saudaranya."

"Sama seperti yang aku alami?"

"Iya," angguk si rambut panjang.

"Macam mana dengan Nyak Sulaiman, pernah dia mengalaminya?"

"Entah," si rambut panjang mengangkat kedua belah bahunya.

Dia segera bangun dan memanjat anak tangga menuju ke bahagian atas bot.

Melihat si rambut panjang angkat kaki, saya pun segera angkat punggung. Saya tidak mahu sendirian di situ.

Sebaik saja sampai di atas si rambut panjang terus menuju ke tempat pemandu bot. Saya terus mengekorinya.

Tanpa disedari, ada sepasang mata sedang mengawasi gerak langkah saya dengan teliti.

"Mahu ke mana kamu Tamar?"

Langkah saya terus terhenti. Saya terus menoleh ke arah suara itu datang. Datuk berdiri tenang di balik rimbunan kotak dibuat dari papan jati.

"Saya nak ikut dia tuk," jari telunjuk saya luruskan ke arah si rambut panjang yang separuhnya sudah ditelan oleh pintu bilik pemandu.

"Jangan ikut dia."

"Kenapa tuk?"

"Aku kata jangan, janganlah. Kenapa kamu banyak soal?" suara Datuk mula meninggi.

Sepasang matanya terpanah ke wajah saya.

Nasib saya sungguh baik, di saat keresahan secara tidak disangka-sangka Nyak Sulaiman muncul dari arah belakang Datuk.

Nyak Sulaiman menyeluk saku baju butang lima, mengeluarkan jam bulat berantai. Lama benar dia menatap permukaan jam tersebut.

"Dah dekat pukul empat pagi," tuturnya dengan tenang.

"Nampaknya kita subuh dalam bot," tingkah Datuk.

"Tidak, dengan izin Allah kita subuh di masjid Kuala Tungkal, kita berjemaah," ucap Nyak Sulaiman penuh yakin.

Saya tetap berdiri dalam keadaan serba salah.

Apakah saya harus berdiri macam patung atau memulakan langkah untuk pergi ke mana saja dalam bot. Saya tarik nafas dalam-dalam.

"Tamar."

"Iya tuk."

"Kamu pergi tidur di tempat tadi, bila dah sampai ke tempat kita tuju, aku bangunkan kamu," Datuk keluarkan perintah baru yang amat berat untuk saya laksanakan.

Makin tebal rasa serba-salah menguasai diri saya. Mestikah saya berterus terang dengan Datuk.

Menceritakan apa yang telah saya alami. Percayakah Datuk dengan cerita yang bakal saya ungkapkan.

"Kenapa tercegat di situ ?" herdik Datuk bila melihat saya tidak bergerak.

Saya masih belum dapat membuat keputusan jitu, sama ada mahu berterus terang atau sebaliknya.

"Balik ke tempat tidur kamu," ulang Datuk.

"Saya tak mahu tuk."

"Kenapa Tamar?" tanya Datuk dengan wajah serius.

Saya segera mendekatinya dan meluahkan pengalaman yang dialami ketika berada di bilik tidur Nyak Sulaiman.

Datuk amat terkejut tetapi, Nyak Sulaiman tidak cemas dan terkejut. Dia kelihatan tenang dan bersahaja.

"Itu perkara biasa," kata Nyak Sulaiman.

"Biasa? bagi saya perkara ini amat luar biasa," sanggah saya dengan dada yang berdebar.

Datuk meraba hujung dagu berkali-kali dan kemudian menggaru pangkal lehernya.

MENATAP

Sepasang mata Datuk silih berganti menatap wajah saya dan Nyak Sulaiman. Agaknya dia mencari kepastian, siapakah di antara kami yang bercakap benar.

"Kau saja yang bercerita pada aku tentang perkara yang kamu kata tidak ganjil tu," sepasang mata Datuk tepat tertumpu ke wajah Nyak Sulaiman.

Macam tadi juga dia tidak memperlihatkan sebarang perubahan. Nyak Sulaiman tetap tenang, senyum terus bermain di kelopak bibirnya.

Datuk menggigit bibir dari gerak bola matanya, saya dapat menduga yang Datuk mula ragu-ragu terhadap Nyak Sulaiman.

"Kau ceritakan," desak Datuk.

Nyak Sulaiman mula mundar-mandir di depan Datuk dalam keadaan tidak tentu arah. Jelingan di hujung matanya menyelinap ke arah muka saya.

Macam ada sesuatu yang difikirkan oleh Nyak Sulaiman. Semua gerak-gerinya tetap dalam sorotan mata Datuk.

Tanpa di sangka-sangka Nyak Sulaiman terus meletakkan punggung atas papan jati. Sepasang kakinya diluruskan. Deru ombak terus memukul gegendang telinga saya.

"Begini..." Nyak Sulaiman tidak meneruskan kata-kata. Saya dan Datuk jadi resah.

Dalam keresahan hati yang tidak bertepi itu, saya lihat Datuk bangun dari tempat duduknya.

Dia terus bentang tikar mengkuang (yang sememangnya dibawa dari rumah) di depan Nyak Sulaiman.

"Kamu duduk di sini," kata Datuk pada saya.

Tanpa banyak soal jawab, saya pun segera duduk di sisinya.

"Kita dengar cerita dari orang ini," sambung Datuk sambil jari telunjuknya menuding ke arah Nyak Sulaiman yang tersenyum lebar.

Bot besar terus bergerak, angin laut terus menyapa wajah kami bertiga.

"Sekarang ceritakan, tempat duduk kami cukup selesa," Datuk terus bersuara.

Nyak Sulaiman tersenyum simpul. Sila dikemaskannya, dada dan wajah dihalakan ke arah angin datang.

"Dulu bilik kecil tak semacam tu," dengan wajah yang amat tenang Nyak Sulaiman memulakan cerita.

"Sesiapa pun boleh tidur di situ, tidak ada apa-apa yang mengganggu," sambungnya dengan nada suara yang agak perlahan.

Ekor mata Nyak Sulaiman renung ke kiri dan ke kanan. Macam ada sesuatu yang diawasinya.

Datuk dan saya terus renung kiri kanan, semuanya macam biasa. Tiada sesuatu yang ganjil dan aneh.

"Habis, sekarang macam mana? Lain pula jadinya," celah Datuk.

"Sekarang, usahkan Tamar, saya sendiri kena ganggu kalau tidur di situ, saya pernah menjerit dan lari keluar dari bilik tu," lanjut Nyak Sulaiman lalu disambut oleh Datuk dan saya dengan ketawa.

Kisah Nyak Sulaiman sungguh melucukan. Dia juga turut ketawa (mengetawakan diri sendiri). Matanya nampak berair.

Setelah ketawa reda, Datuk segera bertanya:

"Macam mana punca petaka tu datang?"

"Puncanya, bila saya membeli pedang samurai dan meja bulat."

"Haa..." kata Datuk sambil menghela nafas panjang.

"Di mana kamu beli barang-barang itu," Datuk terus merisik rahsia.

Nyak Sulaiman terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Dia dongakkan kepala merenung dada langit yang ditaburi bintang.

"Pedang samurai tu, hadiah dari seorang kawan yang selalu belayar dari Tanjung Periuk–Belawan dari Belawan-Tanjung Periuk.

"Kawan saya tu, jumpa pedang samurai di banglo yang pernah di jadikan markas tentera Jepun, masa perang kedua dulu."

"Banglo tu di mana Nyak?" tanya Datuk.

"Di Surabaya."

"Di Surabaya," Datuk menyebut nama tempat itu sekali. Nyak Sulaiman anggukkan kepala.

"Saya merasa megah menerima hadiah tu, saya tak pernah terfikir sesuatu yang buruk," lanjut Nyak Sulaiman sambil mengerut dahi.

"Meja bulat tu, kamu dapat dari mana?" soal Datuk lagi.

"Ha.. yang tu, saya beli di Kampung Batu Uban, Pulau Pinang. Saya beli dari lelaki India Muslim," jelas Nyak Sulaiman.

Menurutnya, pedang dan meja bulat itu terus diletakkan dalam bilik tidurnya. Terbiar di situ selama berminggu, hinggalah pada suatu malam Jumaat.

Semasa belayar merentas Selat Melaka, secara mendadak dia teringat untuk membasuh keris pusaka tujuh luk yang tersimpan di bilik tidurnya.

KERIS

Setelah selesai memandikan keris dengan air limau, dia membakar kemenyan untuk mengusap mata keris tujuh luk.

Di saat mata keris berada dalam kepulan asap kemenyan, secara mendadak saja Nyak Sulaiman terdengar derap sepatu Jepun dalam jumlah yang cukup ramai. Bunyi itu bagaikan keluar dari papan dinding bilik tidurnya.

Semasa Nyak Sulaiman memastikan dengan tepat arah suara itu datang, tiba-tiba dia terdengar bunyi suara perempuan menjerit minta tolong.

Keris yang sedang diusap dengan kemenyan segera dimasukkan ke dalam sarung. Suara tentera Jepun berpadu dengan jeritan perempuan.

Nyak Sulaiman tidak tentu arah, anak telinganya menjadi seakan-akan tuli. Dia hilang ingatan sejenak dan merasai dirinya berada di dunia lain.

Pada saat itu, terdampar sekujur tubuh gadis yang jelita, tanpa pakaian di depannya dalam keadaan yang samar-samar.

Dia juga melihat empat tentera Jepun dengan rakus memperkosa gadis itu secara bergilir.

Tentera Jepun yang keletihan terbaring di tempat kejadian.

Dan dalam masa yang sama gadis korban nafsu serakah tentera itu bangun. Dia bagaikan mendapat kekuatan ghaib membuka langkah silat dengan rambut panjang mengerbang matanya terbeliak merah.

Tiba-tiba saja di tangannya ada buluh runcing. Tindakannya bagaikan orang gila menikam perut tentera Jepun satu persatu. Darah memancut lalu menyembur ke muka gadis itu.

Nyak Sulaiman menekup mukanya dengan kedua belah tapak tangan, bila melihat dia melihat gadis itu menjilat darah yang melekat di tubuh dengan lidah yang luar biasa panjangnya.

Ukuran lebarnya mengatasi ukuran lebar lidah manusia. Kerana tidak tahan berhadapan dengan keadaan tersebut, Nyak Sulaiman terus meluru keluar dari bilik tidurnya.

"Saya betul-betul hilang akal masa itu, saya rasa diri saya bukan berada di atas bot, saya rasa macam berada di rumah besar," kata Nyak Sulaiman kepada Datuk.

"Lagi ada perkara yang menarik?" soal Datuk.

"Sejak kejadian malam itu, saya tak boleh tidur di situ, kalau saya tidur juga buruk padahnya," akui Nyak Sulaiman.

"Kenapa kamu suruh cucu aku tidur di situ."

"Ahhh..." Nyak Sulaiman seperti tergamam.

Dia tidak menduga pertanyaan sedemikian boleh terkeluar dari mulut Datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 142/284

BACA: SBDJ Siri 141: Pulau Berjalan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

from SentiasaPanas https://ift.tt/2ZvULOX via IFTTT
SHARE

Author

Hi, Its me Hafeez. A webdesigner, blogspot developer and UI/UX Designer. I am a certified Themeforest top Author and Front-End Developer. I'am business speaker, marketer, Blogger and Javascript Programmer.

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

loading...