SBDJ Siri 143: Cahaya Misteri Dari Laut

loading...
Saya lihat Datuk berada dalam keadaan serba salah. Berkali-kali dia merenung ke arah laut. Nyak Sulaiman meraba cuping telinga kirinya berkali-kali. Sesekali dia menggigit bibir, Nyak Sulaiman resah semacam.

SBDJ siri 139

"Saya ingatkan makhluk ganjil tidak kacau orang muda macam Tamar ni," tersipu-sipu Nyak Sulaiman bersuara.

Saya kira, itu adalah jawapan yang kurang tepat. Alasan yang tidak munasabah, sekadar mahu melepaskan batuk di tangga.

Inilah kesimpulan yang dapat saya rumuskan dari jawapan Nyak Sulaiman itu.

"Katakan saja, bukan itu jawapannya. Kamu ada niat lain," sanggah Datuk.

"Kamu mahu menarik perhatian aku dengan harapan dapat menolong kamu. Aku tahu kamu malu berterus terang," tambah Datuk lagi.

Saya lihat air muka Nyak Sulaiman berubah. Dia malu.

"Iya memang itu tujuan saya," Nyak Sulaiman mengaku.

Datuk terus tersenyum. Dua tiga kali saya menggaru pipi yang secara tidak semena-mena terasa gatal.

"Kamu mahu aku berusaha dan bertindak?" tanya Datuk.

"Iya," angguk Nyak Sulaiman.

"Kalau begitu ikut aku, jangan tegur dan jangan tanya apa yang aku buat," ujar Datuk.

Serentak saya dan Nyak Sulaiman mengangguk. Datuk pun bangun lalu melangkah menuju ke bilik tidur.

Tanpa banyak cakap dan karenah, saya dan Nyak Sulaiman terus mengekori Datuk menuju ke bilik tidur khas Nyak Sulaiman.

Sebaik saja pintu bilik dibuka, saya terkejut dan merasa hairan yang amat sangat, keadaan dalam bilik berselerakan.

Meja bulat diterbalikkan dengan kaki ke atas. Mata pedang terpisah dari sarung. Matanya berada atas katil manakala sarungnya berada di bawah katil. Paling mencemaskan hati mata pedang berlumuran dengan darah.

Masa saya tinggalkan kamar tidur, keadaan tidak sedemikian, saya kira ada manusia melakukan semuanya ini. Siapakah manusia itu?

Datuk angkat tangan kiri, memberi isyarat supaya (saya dan Nyak Sulaiman) jangan melangkah. Badan kami juga jangan melebihi bahu atau berdiri selari dengan badannya (Datuk).

Sepasang mata Datuk menyorot tiap liku bilik. Tiba-tiba cadar atas katil bergerak sendiri lalu membungkus mata pedang.

Dalam suasana yang serba aneh itu, saya terdengar dengan jelas Datuk menyebut perkataan 'BISMILLAH' dengan tenang.

Kemudian dituruti dengan beberapa rangkap ayat dari al-Quran yang tidak berapa jelas kedengaran.

Bila pembacaannya selesai, Datuk terus menyentap kain cadar yang membalut mata pedang dan segera dihumban ke sudut bilik.

Kemudian, dengan terburu-buru dia mendekati kain tersebut. Tiga kali dia memijak kain cadar dengan tumitnya.

KAIN

Setelah selesai melakukan semua itu, kain cadar terus digulung bulat macam bola lalu ditendang dengan tumit kaki kanan lima kali berturut-turut ke arah dinding.

Kain cadar itu dibiarkan terkapar atas lantai. Datuk renung ke arah katil dengan dahi yang berkerut sambil menarik nafas panjang.

Dia menggenggam penumbuk (tangan kiri) dua tiga kali dia menumbuk angin.

"Huppp..." suaranya lantang.

Dia membuka langkah silat, bergerak ke kiri dan ke kanan. Kemudian berdiri kaku macam patung lebih kurang tiga empat minit.

Setelah itu dengan tenang Datuk melangkah ke katil mengambil mata pedang dan terus dimasukkan ke sarungnya.

Perlahan-lahan Datuk alihkan pandangan ke wajah saya. Renungannya cukup tajam, sinar matanya bagaikan berapi.

"Kamu langkah meja bulat tu dari kiri ke kanan, tiga kali berturut-turut. Pejamkan mata kiri dan mulakan langkah kiri dengan hanya ibu jari kanan menyentuh lantai, lepas langkah pertama barulah boleh memijak lantai dengan biasa," arahan yang dikeluarkan oleh Datuk, saya dengar dengan teliti.

Apa yang disuruhnya segera saya lakukan dengan cermat. Bila tugas itu selesai saya laksanakan seluruh badan terasa lemah.

Sendi-sendi terasa sakit macam ditusuk benda tajam dan pandangan saya jadi berpinar-pinar. Badan terasa melayang-layang dan dalam mengimbangi badan itu saya terjatuh.

Nasib baik Datuk segera memeluk dan terus memangku tubuh saya. Dengan tenang Datuk menekan ibu jari kirinya ke pangkal kening kanan saya.

Dengan sekali urut di kelopak mata, saya kembali pulih dan bertenaga macam biasa.

Bila saya memegang meja hitam untuk mengalihkan kedudukannya ke tempat lain, Datuk segera menghalang.

Dia keluarkan arahan menyuruh Nyak Sulaiman memikul meja hitam untuk dibawa di bahagian atas bot. Tugas membawa pedang samurai adalah tanggang jawab Datuk.

Apa yang saya lihat Datuk tidak menyandang pedang samurai, sebaliknya dia memikul pedang tersebut.

Datuk pun memulakan langkah dalam keadaan badan yang agak membengkok. Mukanya berkedut seolah-olah pedang yang dipikulnya itu amat berat sekali.

Dengan sekelip mata saya lihat dahi dan pipinya bermandikan peluh. Dalam keadaan yang serba payah itu, Datuk terus melangkah dengan hati-hati agar tubuhnya jangan sampai jatuh.

Sebaik saja sampai di bahagian atas bot, tanpa berlengah-lengah lagi, Datuk terus menghempaskan pedang samurai atas lantai. Bot yang ditumpangi terasa bergegar.

Datuk yang kepenatan terus mengesat peluh di dahi dengan telapak kanannya berkali-kali. Dia berehat sejenak untuk menghilangkan rasa penat.

Bila Datuk merasakan badannya sudah bertenaga, dia terus berdiri dekat pedang. Buat beberapa minit pedang samurai direnung dari pangkal ke hujung, dari hujung ke pangkal, perbuatan ini dilakukannya berkali-kali.

Datuk termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya, Datuk merenung ke arah Nyak Sulaiman.

"Beratnya macam memikul beras seguni," rungut Datuk sambil menggaru pangkal dagunya berkali-kali.

"Begini..." belum pun sempat Nyak Sulaiman meluahkan kata-kata selanjutnya, Datuk segera memberi isyarat ke arahnya supaya jangan berkata-kata.

Menyedari kesilapannya, Nyak Sulaiman terus tunduk merenung lantai bot.

Saya menarik nafas lega kerana dari air mukanya saya dapat menduga bahawa Nyak Sulaiman tidak tersinggung dengan apa yang Datuk lakukan.

Bot besar terus bergerak membelah ombak, menyongsong angin. Bintang di langit masih bertaburan.

Angin laut membuat saya menggigil dan mahu mencari tempat untuk memanaskan badan. Disebabkan ada pantang larang yang mesti dipatuhi, hasrat hati saya (mungkin juga hasrat hati Nyak Sulaiman) tidak dapat dilaksanakan.

HUJUNG

Tiba-tiba saya lihat Datuk mencangkung di hujung pedang. Dengan ibu jari kaki kiri, Datuk menekan hujung pedang.

Saya mengedutkan kening, badan pedang terangkat macam ada sesuatu yang menolaknya.

Pedang terus terpacak tetapi, hujung ibu jari kaki Datuk tetap menyentuh hujung sarung pedang.

Perhatian saya dan Nyak Sulaiman tertumpu ke arah Datuk. Tiba-tiba terpancar cahaya dari permukaan laut, macam cahaya kilat yang bentuknya memanjang macam tali kerbau. Dan tali itu menghala ke arah Datuk.

Saya lihat Datuk mengeliat menahan kesakitan. Baju yang di pakainya terkoyak di tengah iaitu di bahagian tulang belakang.

Koyak itu bermula dari bahagian tengkuk hingga ke bahagian tulang punggung.

"Ambilkan aku baju baru, baju cekak musang warna hitam," jerit Datuk sambil merenung ke arah saya.

Harapan Datuk itu segera saya penuhi, tergesa-gesa saya berlari ke arah beg rotan yang terletak di sudut bot. Baju segera saya keluarkan dan lari ke arah Datuk kembali.

"Jangan dekati aku, campakkan saja baju tu kepada aku," Datuk mengeluarkan arahan, bila dia menyedari yang saya cuba mendekatinya.

Tanpa membuang masa, baju hitam segera saya campakkan. Dengan tenang Datuk menyambutnya dan secepat kilat baju itu disarungkan ke badan.

Ibu jari kaki masih tidak berganjak, tetapi menyentuh hujung sarung pedang.

"Allah hu akhbar..."

Suara Datuk meninggi sambil tangan kanannya menggenggam penumbuk yang dijulang ke langit.

Jeritan Allahhu akbar itu diulanginya tiga kali berturut-turut. Dengan serta merta cahaya dari permukaan laut yang berbentuk macam tali belati segera hilang. Suasana terasa amat tenang sekali.

Tetapi, kedudukan Datuk tidak berubah begitu juga dengan pedang samurai. Rupanya suasana tenang dan hening itu hanya untuk beberapa minit saja.

Saya dan Nyak Sulaiman dikejutkan dengan bunyi deru angin yang amat kuat.

Muka Nyak Sulaiman kelihatan pucat, saya tidak dapat berdiri dengan baik, macam ada sesuatu yang menolak batang tubuh, membuatkan badan saya bergoyang ke kiri dan ke kanan.

Bunyi deru angin yang amat kuat itu membuat telinga saya terasa bengang, kelopak mata saya tidak boleh dibuka dengan luas, saya seperti berada di dunia lain. Bukannya berada di atas perut bot.

Di dalam keadaan yang tidak menentu itu, saya terlihat dua lembaga hitam yang bentuknya tidak dapat saya pastikan.

Lembaga itu muncul dari laluan bot, saya kira lembaga itu datang dari laut lalu memanjat badan bot.

HILANG

Mulut saya bagaikan terkunci dan suara saya seperti hilang. Saya tidak berbuat apa-apa untuk memberitahu Datuk tentang lembaga tersebut.

Samar-samar saya lihat Nyak Sulaiman jatuh terlentang atas bot. Lembaga hitam terus melangkah ke arah saya.

Pada masa itu, saya lihat Nyak Sulaiman sudah boleh bangun dan terus merenung ke arah lembaga yang bergerak.

Bila sudah hampir dengan saya, lembaga hitam bertukar menjadi bentuk tentera Jepun. Nyak Sulaiman yang berada agak jauh dari saya nampak resah tidak menentu.

Dia segera bergerak mendekati saya dan berdiri di sebelah kanan.

Lembaga tentera Jepun yang melangkah, kian lama, kian dekat dengan kami ( saya dan Nyak Sulaiman).

Bila sudah dekat, barulah saya dapat melihat rupa dan bentuk lembaga tersebut dengan jelas. Keadaannya amat menakutkan, saya jadi sesak nafas.

Saya tidak sanggup menentang sepasang biji matanya yang merah menyala. Kulit perutnya terbelah dua, tali perutnya berjuntaian macam janggut sulung. Darah membuak-buak keluar dan lidahnya terjelir hingga ke paras lutut.

Lembaga itu terus rapat ke arah saya. Dengan tujuan untuk menyelamatkan diri saya, Nyak Sulaiman terus menerpa ke arah lembaga tentera Jepun.

Perbuatan Nyak Sulaiman menimbulkan kemarahan kepada lembaga tersebut. Saya lihat lembaga segera mengangkat tangan kanannya lalu mengembangkan jari-jarinya yang tidak berdaging.

Tulang jejari yang putih nampak bercahaya. Ruas ibu (tulang) jarinya agak panjang, berbeza dengan ruas jari manusia biasa. Lembaga itu menghayunkan tangannya menampar muka Nyak Sulaiman.

Dengan sekali hayun saja, Nyak Sulaiman tersungkur di lantai, menggeletek macam ikan tercampak atas daratan.

Dari geri Nyak Sulaiman itu ternyata dia mengalami rasa sakit yang amat sangat.

Apa yang berlaku di ikuti oleh Datuk dengan penuh debar tetapi, dia tidak dapat bertindak dengan berkesan, ibu jari kakinya yang bertemu dengan hujung pedang tidak boleh dipisahkan sebarangan.

"Kalau aku ubah ibu jari kaki, ada bencana lain datang," tutur Datuk sambil merenung ke arah saya.

Lembaga tentera Jepun kini mendekati saya, kedua belah tangannya dengan sepuluh tulang jemarinya menuju ke batang leher saya.

Apa yang harus saya lakukan? Demi Allah saya tidak sanggup menentangnya. Saya hanya pasrah pada keadaan.

"Bertenang, cucuku," jerit Datuk lagi.

Sepuluh tulang jari jemari lembaga sudah hampir mahu menyentuh batang leher saya.

Bau busuk terus menusuk lubang hidung saya. Sesungguhnya saya jadi lemas dengan bau tersebut.

"Aaaahhhhh..."

Mata saya tertumpu ke arah Nyak Sulaiman, kaki dan tangannya mula bergerak perlahan-lahan.

Beberapa saat kemudian seluruh tubuhnya dapat bergerak dengan sempurna. Nyak Sulaiman mengumpulkan tenaga untuk bangun.

Percubaan pertama dia gagal. Percubaan kedua juga mengalami kegagalan, sepasang lututnya bagaikan tidak berfungsi.

Nyak Sulaiman yang tidak kenal putus asa itu terus berusaha dan dia mencuba buat kali yang ketiga. Dengan izin Allah dia berjaya berdiri.

Nyak Sulaiman merasa kekuatan dirinya seperti sediakala. Sanggup menghadapi sebarang rintangan dari lembaga yang sedang mengancam diri saya.

GHAIRAH

Kerana terlalu ghairah mahu menyelamatkan diri saya, secara tidak sengaja Nyak Sulaiman melanggar pesan dan pantang larang Datuk yang melarang dia menegur apa yang Datuk lakukan.

"Eh, sahabat, usahlah kamu fikirkan tentang pedang Jepun tu, mari tolong aku selamatkan cucu kamu," jerit Nyak Sulaiman kepada Datuk.

Ternyata apa yang dilakukan oleh Nyak Sulaiman tidak disenangi oleh Datuk, tetapi dia memberi isyarat tangan supaya Nyak Sulaiman sendiri berusaha menghalang lembaga itu dari mengganggu saya.

Seperti yang dijangkakan, Nyak Sulaiman bertindak dengan berani, dia melompat dan berdiri di depan saya.

Dua kali dia melepaskan penumbuk kencang yang cukup kuat terhadap lembaga tersebut. Tindakan Nyak Sulaiman itu tidak memberi kesan apa-apa kepada lembaga sebaliknya lembaga itu terus bertindak balas.

Sepasang matanya merenung tajam ke muka Nyak Sulaiman, renungan itu membuat seluruh sendinya menggigil.

Mungkin kerana tidak tahan dengan sinaran mata lembaga itu membuat Nyak Sulaiman terhuyung-hayang.

Tidak mampu berdiri dengan sempurna, keadaan Nyak Sulaiman tidak ubah seperti orang mabuk.

Dalam keadaan Nyak Sulaiman tidak menentu itu, lembaga aneh terus angkat tangan kanan lalu melepaskan penampar ke arah pipi Nyak Sulaiman.

Tamparan yang kuat itu membuat Nyak Sulaiman tidak bersuara. Dia terus jatuh terlentang di lantai.

Lembaga yang sudah marah itu terus angkat kaki untuk memijak Nyak Sulaiman.

"Bergerak dari situ," kata Datuk.

Saya tidak tahu ke arah mana saya harus melangkah.

"Ke kanan," tutur Datuk lagi.

Arahan itu segera saya patuhi. Saya memejamkan mata bila melihat telapak sepatu lembaga tentera Jepun yang hanya berada dalam jarak tidak sampai satu inci dari dada Nyak Sulaiman.

Andainya telapak sepatu itu ditekan sudah pasti tulang dada Nyak Sulaiman patah dan hancur.

Di saat kecemasan, saya terdengar suara Datuk membaca Lau An Zal Nal dari Surah 59:21. Amat lantang dan jelas sekali suara Datuk menusuk ke lubang telinga saya.

Dengan mendadak saja, bot besar yang saya tumpangi terumbang ambing di main gelombang besar. Saya jadi cemas kerana saya mengira ribut besar sedang menguasai lautan.

Saya bayangkan bot akan dihempas gelombang ke batu karang lalu hancur berkecai.

Nyak Sulaiman dan anak buahnya, begitu juga saya dengan Datuk terus terkapai-kapai untuk menyelamatkan diri.

Bayangan yang menakutkan itu membuat saya hampir mahu menitiskan air mata.

Apakah Datuk menghadapi masalah seperti apa yang saya alami? Timbul pertanyaan dalam hati kecil.

Setelah saya amati ternyata masalah itu hanya berlaku pada diri saya sendiri. Buktinya keadaan Datuk tetap macam tadi, masih boleh membaca ayat-ayat Quran dengan baik dan teratur.

Tiba-tiba saya terdengar bunyi ledakan yang amat kuat, bot terumbang–ambing dan terasa seperti dilambung ombak.

Perkara itu berlaku dalam beberapa detik sahaja dan suasana kembali normal. Damai dan tenang.

Mata saya masih terpaku ke arah lembaga yang berbentuk tentera Jepun. Lagi sekali saya mengalami kejutan aneh (askar Jepun) tidak lagi memijak dada Nyak Sulaiman.

Sebaliknya lembaga itu terus berdiri kaku, sepasang kakinya bagaikan terlekat di lantai bot. Seluruh pancaindera saya tertumpu ke arah lembaga aneh itu.

Pada saat itu juga, saya melihat ada api yang merayap di lantai menuju ke arah sepatu yang dipakai oleh lembaga aneh.

Api yang kecil itu terus membakar bahagian depan sepatu, kemudian merayap ke kaki seluar.

Dalam beberapa detik saja api terus marak, membakar seluruh lembaga sehingga hangus, menjadi debu.

Sebaik saja Datuk menamatkan pembacaan Surah 59, api terus padam tanpa meninggalkan apa-apa kesan.

Saya kedutkan dahi, semuanya bagaikan mimpi dan bot terus membelah laut menuju ke Muara Jambi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 143/284

BACA: SBDJ Siri 142: Gadis Jelita Jilat Darah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

from SentiasaPanas https://ift.tt/3gh7o6w via IFTTT
SHARE

Author

Hi, Its me Hafeez. A webdesigner, blogspot developer and UI/UX Designer. I am a certified Themeforest top Author and Front-End Developer. I'am business speaker, marketer, Blogger and Javascript Programmer.

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

loading...